Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajian KKM sahkan vaksin Covid-19 kurangkan risiko kematian sebanyak 88%

Secara keseluruhan, vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) memiliki kadar keberkesanan 88 peratus dalam mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, menurut kajian Kementerian Kesihatan (KKM).

Kajian itu juga mendapati risiko untuk jangkitan tidak bergejala juga berkurang sebanyak 86 peratus.

Bagi kes jangkitan terhadap penerima vaksin lengkap, ia juga memberi perlindungan dengan kadar serupa bagi mengelakkan pesakit menjadi kritikal atau meninggal dunia.

Kajian ini dijalankan oleh Institut Penyelidikan Klinikal KKM melibatkan 1.26 juta individu.

Ia mendapati vaksin AstraZeneca memberi perlindungan terbaik antara tiga vaksin utama yang digunakan dalam Pick.

"Kajian kami mendapati vaksin AstraZeneca (dos lengkap) memiliki keberkesanan 96 peratus dalam mengurangkan risiko pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan juga risiko kematian," kata Pengarah ICR Dr Kalaiarasu Peariasamy ketika taklimat media hari ini.

Kemasukan ke ICU antara pengukur yang digunakan untuk melihat tahap keseriusan pesakit Covid-19. Secara umumnya, hanya pesakit dalam Kategori 4 dan 5 yang memerlukan bantuan alat pernafasan dimasukkan ke ICU.

Bagi vaksin Pfizer, Dr Kalairasu berkata kajian menunjukkan kadar keberkesanan 92 peratus mengelakkan pesakit dimasukkan ke ICU, dan keberkesanan 93 peratus dalam mengurangkan risiko kematian.

">

Bagaimanapun, angka itu memiliki selang keyakinan (confidence interval) yang bertindih dengan AstraZeneca - bermakna perbezaan antara dua jenis vaksin itu kecil.

Sementara itu, Sinovac merupakan vaksin dengan perlindungan paling rendah. Bagaimanapun, ia masih mengurangkan risiko dimasukkan ke ICU sebanyak 77 peratus dan risiko kematian sebanyak 84 peratus.

Kalairasu tidak memberikan perincian prestasi setiap vaksin dalam mencegah jangkitan.

Kalairasu memberitahu pemberita yang kajian itu - yang dinamakan Real-world Evaluation of Covid-19 Vaccines under the Malaysian National Covid-19 Immunisation Program (Recovam) - dilakukan dengan menggabungkan pangkalan data negara berkenaan kes positif, vaksinasi, kemasukan ICU dan kematian.


Ia melibatkan golongan dewasa yang dijangkiti antara 1 April hingga 12 September, dan mengambil kira jantina, kewarganegaraan, usia, komorbiditi, gejala dan faktor spesifik berkaitan masa dan negeri tempat tinggal mereka.

Keberkesanan keseluruhan

Bercakap tentang keberkesanan vaksin secara keseluruhan, Kalairasu berkata jumlah kes positif mula menurun sejak akhir Ogos selepas 46 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Statistik kes kematian juga menunjukkan kesn serupa, dengan jumlahnya mula menurun sejak pertengahan bulan lalu. Ketika itu kadar vaksinasi lengkap adalah 55 peratus.

"KKM merekodkan kes aktif tertinggi pada akhir Ogos tetapi ini juga telah menurun dengan pengurangan kes baru harian.

"Jadi kita harap menjelang akhir tahun ini, kita boleh kurangkan jumlah kes aktif kepada 4,000 atau kurang.

"Ini satu lagi petunjuk yang vaksinasi berjaya dalam mengurangkan kes Covid-19," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS