Anak wanita Mongolia dibawa ke Msia untuk ujian DNA
Bapa kepada wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang menjadi mangsa pembunuhan ngeri, dijangka tiba ke negara ini dalam tempoh terdekat bersama cucu lelakinya berumur 16 bulan yang dikatakan hasil hubungan sulit wanita itu dengan seorang penganalisis politik terkenal tanahair.
Bapa kepada wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang menjadi mangsa pembunuhan ngeri, dijangka tiba ke negara ini dalam tempoh terdekat bersama cucu lelakinya berumur 16 bulan yang dikatakan hasil hubungan sulit wanita itu dengan seorang penganalisis politik terkenal tanahair.
Konsul Kehormat Kedutaan Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi berkata, bapa Altantuya dijangka tiba beberapa hari lagi bagi membolehkan ujian DNA dibuat bagi menentukan sama ada penganalisis politik itu adalah bapa kandung kanak-kanak lelaki tersebut.
"Kedua-duanya dibawa ke negara ini dengan kerjasama kedutaan Mongolia di Bangkok dalam beberapa hari lagi.
"Kedutaan Mongolia telah menghubungi saya dan memaklumkan perkara ini semalam dan mereka akan diiringi oleh wakil kanan kedutaan Mongolia," katanya kepada Bernama hari ini.
Menurutnya persediaan sedang diatur bagi membawa mereka dari Ulan Bator, Mongolia ke Malaysia.
"Tetapi saya tidak mahu dedahkan bila mereka akan tiba demi keselamatan mereka," katanya.
Cam mayat
Syed Abdul Rahman berkata polis juga akan meminta bantuan bapa Shaariibuu untuk mengecam mayat anaknya itu.
Katanya, keluarga Shaariibuu di Mongolia juga sentiasa menghubunginya untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung tragedi itu yang turut mendapat perhatian media asing.
"Mereka terlalu terkejut dan sedih dengan apa yang menimpa anak mereka. Lebih-lebih lagi mereka yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan anak mereka adalah polis, yang sepatutnya menjaga keamanan," katanya.
Syed Abdul Rahman berkata adik mangsa, Burmaa Shariibuu, pernah datang ke pejabatnya pada 28 Oktober lalu bagi berbincang mengenai kehilangan kakaknya, sebelum Burmaa membuat laporan polis.
Kes pembunuhan Altantuya alias @ Aminah, 28, seorang model sambilan mendapat liputan meluas media tempatan setelah dikatakan ditembak sebelum mayatnya diletupkan menggunakan tiga bom tangan di Ampangan Subang, Puncak Alam, di Shah Alam dua minggu lalu.
Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia pada 6 Oktober bersama adik perempuannya dan seorang sepupu untuk mencari lelaki yang mempunyai hubungan seks dengannya sehingga dia melahirkan seorang anak lelaki yang kini berusia 16 bulan.
Hubungan sulit
Mangsa didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan penganalisis politik itu yang juga ketua pada satu institusi pemikir tempatan, ketika mereka bertemu di Mongolia dua tahun lalu.
Altantuya dipercayai cuba untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi rawatan bayi itu, dikatakan berpeluang untuk bertemu dengan penganalisis politik tersebut pada 19 Oktober lalu, iaitu kali terakhir dia ditemui hidup.
Setelah mangsa gagal muncul, adik dan sepupunya membuat laporan polis di sini dan meminta bantuan Kedutaan Mongolia di Bangkok.
Berdasarkan kepada laporan itu, tiga anggota polis, seorang daripadanya bertugas dengan Unit Tindakan Khas ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut dan polis kemudian menemui cebisan mayat di satu kawasan di Puncak Alam.
Hari ini, penganalisis politik itu yang berumur 46 tahun dikenakan perintah reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sebelum ini mengarahkan polis membuat siasatan terperinci kes itu bagi membolehkan mereka yang terbabit dihadapkan ke pengadilan.

