Pelajar ISA 7 diarah bela diri
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini membenarkan rayuan pihak pendakwaraya terhadap pembebasan tujuh pelajar universiti daripada tuduhan mengadakan perhimpunan haram.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini membenarkan rayuan pihak pendakwaraya terhadap pembebasan tujuh pelajar universiti daripada tuduhan mengadakan perhimpunan haram.
Mahkamah juga mengarahkan pelajar terbabit membela terhadap tuduhan tersebut.
Mereka didakwa mengadakan perhimpunan haram anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di luar Masjid Negara di Kuala Lumpur pada tahun 2001
April lalu, mereka dibebaskan daripada tuduhan tersebut oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Tiga hari kemudiannya, Pejabat Peguam Negara mengemukakan rayuan terhadap penghakiman tersebut.
Selepas penangkapan mereka, pelajar terbabit dilarang menghadiri kuliah di universiti masing-masing Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia. (UKM).
Pejabat terbabit yang juga dikenali sebagai ISA 7 ialah Wan Sanusi Wan Mohd Noor, Razfan Ramli, Nik Noorhafizi Nik Ibrahim, Khairul Amal Mahmud, Ahmad Kamal Abdul Hamid, Zulkefle Idris dan Helman Sanuddin.
Bagaimanapun dua daripada mereka, Ahmad Kamal dan Wan Mohd Sanusi tidak hadir di mahkamah hari ini. Kedua-dua mereka dikehendaki hadir ke mahkamah pada 20 November ini untuk mendengar keputusan penghakiman itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohtarudin Bakri berkata, beliau membuat keputusan itu berdasarkan lima faktor penting;
- Tindakan mereka adalah satu perhimpunan haram kerana lebih daripada tiga orang menyertainya.
- Perhimpunan itu bukan secara spontan tetapi dirancang.
- Tiada permit polis dikeluarkan untuk perhimpunan tersebut.
- Semua tertuduh terbabit secara langsung dalam perhimpunan berkenaan.
- Akhir sekali, semua tertuduh menyertai perhimpunan itu tanpa mendapat permit individu.
Hakim Mohtarudin berkata, Mahkamah Majistret telah gagal mengambilkira faktor-faktor itu ketika mendengar kes tersebut pada April lalu. Berita asal

