Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, di atas pertuduhan merompak beg tangan milik seorang wanita, minggu lalu.

Tertuduh, Abdul Aziz Abd Rahman, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja merompak seutas beg tangan milik seorang wanita berusia 30 tahun sehingga menyebabkan ketakutan kepada mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di persimpangan Kedai Piah Kampung Binjai, Batu 11 Ketereh, jam 5.45 pagi, pada 19 September lalu.

"Saya mengaku bersalah," katanya yang hadir ke mahkamah dalam bergalas akibat mengalami patah tangan susulan kejadian itu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang mana boleh dihukum di bawah seksyen atau akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Fariz dalam pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan yang dikakukan itu serius.

"Walaupun kesalahan ini boleh dijamin, namun ia akan menimbulkan kegusaran pada orang ramai. Saya mohon satu tarikh sebutan semula kes kerana mangsa mengalami beberapa kecederaan dan tunggu laporan perubatan mangsa," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 28 Oktober depan bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan, cubaan lelaki untuk meragut wanita tidak kesampaian apabila dia dilanggar suami mangsa.

Pada kejadian itu, mangsa baru sahaja turun daripada bas ekspres dan sedang menunggu suaminya datang menjemput.

Lihat Komen
ADS