mk-logo
Berita
Wang MBI Kedah: Mukhriz desak Sanusi adu ke pihak berkuasa
Diterbitkan:  Sep 28, 2021 3:38 AM
Dikemaskini: 3:38 AM

Mukhriz Mahathir menggesa Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor segera membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung isu pemindahan wang RM13 juta milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) baru-baru ini.

Kata Mukhriz langkah itu wajar diambil Sanusi jika menteri besar terbabit berpendapat wujud amalan salah guna kuasa semasa proses tersebut dilakukan.

Mukhriz yang menjadi menteri besar Kedah semasa pemindahan tersebut didakwa dilakukan menambah berdasarkan dokumen yang 'ditayangkan' Sanusi dalam sidang media pada 23 Sept lalu, ia dipercayai merujuk kepada pelaburan MBI ke dalam sebuah syarikat bioteknologi yang ketika itu terbabit dalam projek kajian dan pembangunan rawatan kanser.

"Syarikat itu berdaya maju dan ekuitinya pula dimiliki oleh rakyat Malaysia, agensi pelaburan sektor teknologi tinggi kerajaan persekutuan, selain turut menarik perhatian pelabur-pelabur dari luar negara," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sanusi pada minggu lalu dipetik sebagai berkata, dia mempunyai bukti RM13 juta wang milik Kedah dipindahkan ke sebuah akaun bank di Kanada. Dakwaan berkenaan dibuat Sanusi pada sidang akhbar secara maya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah.

"Ada hal lama berkaitan pemindahan wang MBI sebanyak RM13 juta ke satu akaun di Kanada.

“Saya tak pernah sebut kepada sesiapa. Hari ini baru saya sebut,” katanya dipetik Sinar Harian pada 22 Sept. 

Tak akan berkompromi

Menurut Mukriz kenyataan dibuat Sanusi pada sidang media tersebut didapati tidak konsisten malah bercanggah antara satu sama lain.

"Pada 21 Sept beliau menyebut wang itu dipindah ke Kanada, tetapi menafikan pula perkara itu dalam sidang media pada 22 Sept.

"Kesilapan atau salah kata sebegitu bukanlah suatu yang asing bagi Menteri Besar Kedah berkenaan," katanya.

Tambah Adun Jitra itu lagi dokumen 'bukti' yang ditunjukkan Sanusi itu juga sepatutnya diserahkan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa bagi tujuan siasatan.

Kata Mukhriz sebagai sebuah entiti yang ditubuhkan untuk membawa pelaburan dan keuntungan kepada Kedah, tentu wujud aliran keluar masuk dana dari MBI dan sebarang keputusan yang diambil semestinya mengambil kira kepentingan terbaik buat rakyat Kedah.

Menurunya lagi dia tidak memperoleh sebarang keuntungan peribadi daripada apa sahaja keputusan MBI dan sentiasa bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

"Saya sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mahupun salah guna kuasa, kalau pun ia wujud.

"Saya amat yakin tiada unsur-unsur tersebut dalam urusniaga MBI ketika saya berjawatan menteri besar Kedah," katanya.

Mukhriz juga memberi bayangan akan mengambil tindakan ke atas Sanusi jika pemimpin PAS itu terus membuat "onar" dengan kenyataan yang seumpama itu.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini