Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dasar ekuiti bumiputera untungkan kroni, bukan orang miskin'

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertikaikan apakah inisiatif pemberdayaan bumiputera dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) akan membantu golongan yang memerlukan.

Mereka berpendapat bahawa rancangan tersebut akan menguntungkan tuan politik serta "kroni" dan bukannya orang miskin.

Membahaskan RMK-12 hari ini, Anwar (PKR - Port Dickson) berpendapat bahawa dasar pemilikan ekuiti bumiputera akan menguntungkan orang kaya yang mempunyai pengaruh politik.

Dia mendakwa inisiatif serupa pada masa lalu membuktikan kenyataannya itu.

"Kalau kita lihat dalam kenyataan yang berlaku dalam sejarah, itu (dasar ekuiti bumiputera) banyak memberikan faedah kepada beberapa syarikat keluarga dan kroni.

"Ini tak dapat dinafikan," katanya.

Anwar menyorot bagaimana pegangan saham nominee telah disalahgunakan oleh pihak yang mempunyai kaitan politik dengan memiliki saham secara sembunyi.

"(Pemegang saham) nominee ini cara tokoh-tokoh besar politik mahakaya untuk melindungi nama mereka dengan meletekkan nominee.

"Jadi apakah wajar bagi orang ada kepentingan dalam kerajaan, GLC, atau GLIC yang membuat keputusan kemudian izinkan nama nominee supaya menghilangkan nama mereka dan keluarga mereka? Ini harus ada penjelasan yang teliti," katanya.

Syed Saddiq (Bebas - Muar) juga mengatakan dasar pemilikan ekuiti bumiputera akan menguntungkan "kroni dan elit" tetapi bukan bumiputera miskin.

"Bagaimana dasar ini akan membantu golongan susah di Malaysia. Bagaimana ia akan bantu nelayan di Tanjung Piai, Petani di Alor Setar, di Jerlun? Atau peniaga-peniaga kecil di Muar?

"Realitnya, dasar ini populis tapi sama sekali tak bantu golongan Melayu yang susah," katanya.

 

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengatakan pegangan saham bumiputera berada pada 17.2 peratus, bukan bumiputera 25 peratus, entiti asing 45.5 peratus dan pemegangan saham nominee 12.3 peratus.

Di bawah RMK12, dia mengumumkan kerangka jaringan keselamatan baru untuk memastikan saham atau syarikat bumiputera hanya dapat dijual kepada entiti bumiputera.

Ini untuk meningkatkan pemilikan ekuiti korporat bumiputera kepada minimum 30 peratus.

Pendekatan baru diperlukan

Sebagai alternatif, Anwar mencadangkan agar kerajaan memberi kuasa secara efektif kepada bumiputera dengan melabur dalam perkhidmatan massa seperti pendidikan, perumahan mampu milik dan penjagaan kesihatan awam.

“Saya rasa tidak ada bumiputera atau bukan bumiputera yang akan mempertikaikannya jika peruntukan besar diberikan kepada sektor pendidikan dan kesihatan awam.

"Sekiranya kita memberikan peruntukan besar untuk sekolah bandar, miskin bandar, pinggir bandar dan sekolah-sekolah di luar bandar Sabah dan Sarawak; ini akan menguntungkan bumiputera dan orang Melayu,” katanya.

Syed Saddiq juga menyarankan agar Putrajaya menumpukan perhatian pada dasar yang luas dan bukannya yang menguntungkan beberapa pihak tertentu.

"Jalan ke hadapan bukanlah jalan mudah di mana anda memberikan ekuiti kepada jutawan kaya. Cara terbaik ke hadapan adalah peningkatan keupayaan.

"Sekiranya ingin menolong orang Melayu, bantu peniaga kecil [...] memberi biasiswa dan peluang pekerjaan kepada belia dari keluarga miskin," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS