Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis sedang berusaha untuk menyekat cubaan menjual berjuta-juta maklumat peribadi yang dikatakan dicuri dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Kamarudin Md Din berkata, tindakan itu adalah langkah pertama diambil oleh pihak polis setelah mengetahui perkara itu semalam.

Katanya, pihak polis juga sedang mengenal pasti individu yang terlibat dalam dakwaan membocorkan maklumat itu dan tidak menolak kemungkinan penglibatan 'orang dalam'.

"Kita sedang usaha untuk block. Tindakan awal block sebelum dapat kenal pasti (individu bertanggungjawab), yang itu kita akan buat serta merta," katanya dalam sidang media di Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur.

Terdahulu hari ini, blog teknologi lowyat.net melaporkan satu set data 31.8GB - yang mengandungi rekod peribadi empat juta rakyat Malaysia yang disimpan oleh JPN - telah dijual.

Penjual meminta bayaran 0.2BTC (kira-kira RM35,030.79 ketika laporan ini ditulis).

Set data ini diiklankan dalam forum dalam talian terkenal itu dengan menjual maklumat peribadi yang dicuri dari seluruh dunia.

Berdasarkan sampel yang ditunjukkan oleh penjual, set data tersebut mengandungi tarikh lahir, e-mel, jantina, alamat surat menyurat, nombor telefon, nombor MyKad, alamat tetap, bangsa dan agama dalam format json.

Penjual mendakwa data tersebut diperoleh daripada "myIdentity API" melalui laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kamarudin berkata pihak polis menerima laporan berhubung perkara itu semalam oleh timbalan pengarah JPN di ibu pejabat polis daerah Putrajaya.

Berikutan itu, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997.

"(Sama ada) Sistem daripada JPN atau LHDN (berlaku kebocoran) kita akan siasat dan nak sahkan di mana kebocoran itu berlaku.

"Kita tak boleh nafikan (penglibatan 'orang dalam'). Semua orang adalah saspek sekarang," katanya

Dia berkata polis akan bekerjasama dengan agensi lain berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Cyber Security Malaysia dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) bagi memperkukuhkan sistem keselamatan pangkalan data kerajaan.

Lihat Komen
ADS