Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes wang bukti RM25j hilang: AGC terima kertas siasatan SPRM
Diterbitkan:  Sep 29, 2021 6:17 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

SPRM telah menyelesaikan siasatannya terhadap dakwaan kehilangan wang bukti RM25 juta, yang menyaksikan tiga pegawai suruhanjaya itu ditangkap.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Peguam Negara mengatakan bahawa mereka telah menerima kertas siasatan dari SPRM semalam.

"Bahagian ini (Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara) akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh sebelum sebarang keputusan sama ada untuk membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan untuk siasatan lanjut (SPRM)," katanya.

Minggu lalu, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pihaknya telah menahan tiga pegawainya sebagai sebahagian daripada siasatan yang berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan salah laku dalam kes yang melibatkan "bekas ketua jabatan".

Difahamkan, mereka disyaki terlibat dalam kehilangan wang yang merupakan sebahagian daripada bukti yang dirampas oleh SPRM pada tahun 2018 semasa siasatan terhadap bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid.

Hasanah didakwa pada 2018 atas kesalahan pecah amanah (CBT) melibatkan RM50.4 juta milik kerajaan.

SPRM merampas wang tunai dan barang-barang lain daripadanya berkaitan dengan siasatan itu. Pada bulan April, dia diberi pelepasan tanpa pembebsan oleh mahkamah.

Berikutan itu, dia pergi ke SPRM untuk menuntut wang tunai yang dirampas dan mendapati RM25 juta hilang.

Kes itu terungkap ketika sebuah blog berjudul ‘Edisi Siasat’ menerbitkan artikel yang mendakwa bahawa polis takut bertindak berdasarkan laporan polis Hasanah.

Bagaimanapun, polis menafikan menerima laporan mengenai perkara itu.

Pada hari yang sama, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa suruhanjaya itu telah menahan tiga pegawainya kerana kehilangan wang tunai.

Sementara itu, dilaporkan bahawa polis sedang menyiasat 'Edisi Siasat' kerana didakwa menyebarkan maklumat palsu.

Lihat Komen
ADS