Tiada surat khabar untuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad buat sementara ini, itu peraturan yang ditetapkan oleh keluarganya bagi memastikan beliau mendapat rehat secukupnya.

Anak beliau, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ayahnya itu hanya dibenarkan membaca buku sahaja bagi memastikan kesihatannya sentiasa dalam keadaan baik.

Beliau juga menyatakan, Dr Mahathir telah dipindahkan ke wab biasa malam tadi setelah dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN) sejak Khamis lalu.

"Dia (Dr Mahathir) sedang relaks, tetapi kami tidak memberinya membaca surat khabar."

" Fokus kami sekarang untuk pastikan Tun pulih sepenuhnya," katanya kepada pemberita di IJN dengan menambah kesihatan bapanya kini semakin membanggakan.

"Kami amat gembira dengan kesihatan beliau kini dan nampaknya tiada kesan negatif daripada ubat yang diambil. Bagaimanapun kami tidak pasti bila beliau akan keluar wad, semuanya bergantung kepada nasihat doktor," katanya.

Mukhriz berkata bekas Perdana Menteri itu juga kelihatan berselera menikmati makan malamnya hari ini iaitu kanji dan pada masa temubual itu, sedang berehat.

Menurut laporan Bernama, beliau mengakui keletihan serta tidak cukup rehat menjadi punca Dr Mahathir diserang sakit jantung ringan awal pagi Khamis.

"Dia sedar kini kesihatannya patut diutamakan dan perlu mendapatkan rehat yang cukup," tambahnya.

Beliau berkata kesihatan ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali yang sentiasa berada di sisi Dr Mahathir 24 jam sehari itu juga perlu dipantau, dan mereka sentiasa memastikan Dr Siti Hasmah mendapat rehat yang cukup.

Mukhriz berkata beliau menerima lebih 800 khidmat pesanan ringkas (SMS) dan banyak panggilan hari ini yang mendoakan agar Dr Mahathir cepat sembuh.

"Saya ingin meminta maaf kerana tidak dapat membalasnya semua dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kesihatan beliau," katanya.