Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Idris dakwa ada campur tangan individu halang tugas exco
Diterbitkan:  Oct 5, 2021 11:00 PM
Dikemaskini: 3:00 PM

Sehari selepas mengumumkan menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan dua lagi Exco Kerajaan Negeri Melaka hari ini menjelaskan tindakan mereka berbuat demikian, yang secara tidak langsung mencetuskan krisis politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang itu mendakwa terdapat campur tangan individu tertentu sehingga menyebabkan Exco Kerajaan negeri Melaka tidak dapat menjalankan peranan dan fungsi mereka kepada rakyat.

Bekas Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri itu berkata semua perkara yang dirujuk kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk tindakan tidak dapat diputuskan beliau, sebaliknya perlu dirujuk kepada pihak berkenaan.

"Saya tidak ada masalah dengan Sulaiman… beliau seorang yang baik dan menghormati semua orang tetapi saya mempunyai masalah dengan (kepimpinan) Ketua Menteri Melaka yang menjadi boneka kepada individu berkenaan.

"Saya ada masalah dengan (kepimpinan) Ketua Menteri yang terpaksa merujuk keputusan kepada seseorang yang lain.

"Kita ada 10 Exco kerajaan negeri dan kita mempunyai hak untuk membuat keputusan tetapi ia tidak dapat dilaksanakan," katanya pada sidang media di Melaka hari ini.

Gambar fail, Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Adun Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee yang merupakan bekas Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dan Adun Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad yang juga bekas Exco Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan).

Sementara itu, Adun Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan tidak menghadiri sidang media itu kerana dikhabarkan kurang sihat.

Idris berkata situasi itu menjejaskan peranan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana banyak keputusan tidak dapat dilaksanakan, sekali gus memberi impak negatif kepada Melaka terutama membabitkan pembangunan dan ekonomi negeri.

Ketika ditanya tentang ura-ura beliau akan dilantik semula sebagai Ketua Menteri Melaka di bawah kepimpinan Pakatan Harapan, Idris berkata hal itu bukan keutamaan mereka ketika ini, sebaliknya usaha membentuk kerajaan negeri baru lebih penting.

"Semua Adun dalam PH berpotensi menjadi Ketua Menteri Melaka dan setakat ini saya tidak mencalonkan diri saya dan kami tidak bercerita tentang isu ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Idris mendakwa dua lagi Adun daripada UMNO akan menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri Melaka.

Rentetan pengumuman empat Adun berkenaan, Sulaiman dilaporkan menghantar surat kepada Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam semalam bagi memaklumkan kedudukan itu dan meminta perkenan untuk pembubaran DUN.

Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini berkata Mohd Ali telah membuat pertimbangan dan bersetuju DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 Adun yang terdiri daripada 14 Adun Umno, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

- Bernama

Lihat Komen
ADS