mk-logo
Berita
ECRL: Dakwaan Tajuddin kurang tepat, kata Kementerian Pengangkutan
Diterbitkan:  Oct 7, 2021 3:09 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Kementerian Pengangkutan menganggap dakwaa bahawa tiada kontaktor bumiputera terbabit dalam projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sebagai “kurang tepat”.

“Adalah kurang tepat untuk mengatakan ‘tidak wujud’ penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek ECRL ini,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Menjawab tuduhan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat kelmarin, kementerian itu berkata, sehingga Ogos terdapat 81 syarikat majoriti bumiputera yang menyertai projek ECRL dengan nilai RM320 juta.

Jumlah itu, katanya, merupakan 10.67 peratus daripada keseluruhan nilai penyertaan bumiputera yang dirancang iaitu sebanyak RM3 bilion daripada RM50.3 bilion kos projek berkenaan.

“Fakta ini harus dilihat dalam konteks kemajuan projek bernilai RM50.3 bilion tersebut seperti yang dimaklumkan oleh menteri (Wee Ka Siong) di parlimen semalam, yang pada masa ini berada pada kadar 23.96 peratus (kemajuan) setakat 31 Ogos 2021,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu turut dikongsi Wee di Facebooknya hari ini.

Kelmarin di Dewan Rakyat, Tajuddin mencelah perbahasan Wee dengan memintanya jangan ‘syok sendiri’ serta mempersoalkan penglibatan kontraktor bumiputera dalam ECRL yang menurutnya “tidak ada”. 

Wee kemudian menjelaskan kemajuan projek itu sedikit lambat berbanding sasaran 25 peratus yang dijadualkan ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Mengulas lanjut, kementerian pengangkutan berkata 81 syarikat bumiputera itu telah melepasi latihan prakelayakan pada 2017 dan 2019, serta memperoleh kontrak secara kompetitif melalui tawaran dengan kontraktor utama Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).

Katanya jumlah 83 syarikat itu merangkumi 43 kontraktor, dua firma perunding serta 36 vendor dan pembekal.

Tambah kementerian itu, secara keseluruhan kontraktor tempatan yang terlibat dalam ECRL mempunyai nilai RM4.59 bilion atau 45.9 peratus daripada jumlah sasaran yang dirancang iaitu RM10 bilion, melibatkan 1,368 syarikat.

“Di bawah Perjanjian Tambahan (SA) No 6, kadar peratusan efektif penyertaan syarikat bumiputera dalam projek ECRL juga akan dinaikkan dari 30 peratus kepada 32.9 peratus.

“Ini menunjukkan komitmen kontraktor utama EPCC untuk meningkatkan peratusan penyertaan kontraktor bumiputera dan tempatan dalam projek mega ECRL,” kata kenyataan itu lagi.

Kenaikan kadar penyertaan itu, tambah kementerian, merupakan hasil penubuhan Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera di dalam Projek ECRL pada Okt 2020 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia. 

Lihat Komen
ADS