Lebih 560 pegawai dan anggota keselamatan termasuk unit pengesan dan pemusnah bom akan bertugas sepanjang tempoh perhimpunan agung Umno hari ini hingga Jumaat.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Kuala Lumpur SAC II Jamaludin Khalid berkata, lazimnya aspek keselamatan yang paling penting di persidangan ini ialah pemeriksaan bom oleh unit pemusnah bom di dewan-dewan perhimpunan setiap kali dewan kosong dan bila perwakilan keluar untuk jamuan dan sebagainya.

"Melalui pengalaman kita dulu, setiap kali ada persidangan, kita akan dapat banyak panggilan mengatakan bom dipasang di dalam dewan dan sebagainya.

"Anggota unit pemusnah bom kerap membuat pemeriksaan, kita boleh anggap ia laporan palsu dan boleh memaklumkan kepada pihak penganjur supaya meneruskan mesyuarat tanpa gangguan," katanya.

Menurut Jamaludin, pihak polis setakat ini tidak menerima sebarang maklumat mengenai sebarang ancaman, tetapi berdasarkan maklumat semasa dari cawangan perisikan, boleh dijangkakan yang mesyuarat kali ini akan berjalan lancar tanpa banyak masalah.

Menurutnya lagi, anggota dan pegawai polis itu akan bertugas mengikut tiga giliran kerja.

Menurut laporan Bernama, bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar, dalam melaksanakan tugasnya, pihak polis mengambil pendekatan membantu dalam soal keselamatan perwakilan dan orang ramai dan bukannya sengaja mahu membatasi pergerakan mereka.

"Kita ingin mengekalkan pendekatan ini supaya mereka rasa selamat. Kita tidak mahu terlalu keras seperti menahan dan menangkap...kita tidak gunakan pendekatan seperti itu."

"Paling penting, tugas polis ialah memastikan hanya mereka yang wajib sahaja boleh masuk ke dewan-dewan persidangan. Ini bermakna polis kena melakukan kawalan-kawalan akses dengan urusetia UMNO bagi memastikan yang tidak berkaitan tidak dibenarkan masuk," jelasnya.

Anjing pengesan

Selain anggota am dan anggota unit pemusnah bom, elemen polis lain yang terlibat adalah dari unit trafik, jenayah, narkotik, Pasukan Simpanan Persekutuan, unit udara, dan juga perisikan.

"Pendekatan kita adalah holistik, kita perlu anggota dari semua unit," katanya.

Jamaludin juga memberi jaminan kawalan keselamatan juga meliputi kawasan lebih 300 gerai jualan di sekitar Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) kerana polis sering menerima aduan kecurian pada perhimpunan agung yang lepas.

Bagi keselamatan di luar venue pula, anggota polis trafik akan memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas sementara unit anjing pengesan akan digunakan untuk memeriksa kenderaan.

Sementara itu hampir 5,000 perwakilan ke perhimpunan agung Umno 2006 mula mendaftarkan diri di PWTC hari ini untuk mengambil bahagian dalam beberapa mesyuarat yang dijadualkan berlangsung selama lima hari sehingga Jumaat ini.

Proses pendaftaran itu untuk perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno yang akan berlangsung esok serta perhimpunan agung Umno yang akan berlangsung pada Rabu berjalan lancar.