Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah kembalikan pasport Zahid untuk jalani rawatan di Jerman

Mahkamah Tinggi di Shah Alam membenarkan permohonan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau menerima rawatan di Munich, Jerman.

Permohonan itu dibuat pagi ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.

Datuk Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan permohonan tersebut adalah perkara sama yang dibuat anak guamnya yang menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka Jerman, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas.

“Kita memohon pelepasan sementara pasportnya bagi mendapatkan rawatan di Jerman untuk kecederaan, sama seperti permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.. yang kat sini dah bagi,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Ahmad Zaidi berkata pelepasan sementara pasport itu tidak akan mengganggu tarikh perbicaraan Ahmad Zahid yang ditetapkan pada 22 Okt depan.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, Euro15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Pada 7 Okt lepas, media melaporkan Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya diserahkan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya yang menderita sakit belakang dan leher perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.

Hamidi memaklumkan Ahmad Zahid memohon pasportnya diserahkan pada 26 Okt ini dan akan memulangkanya pada 21 Nov depan.

Di Kuala Lumpur, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan pasportnya bagi tujuan sama.

“Permohonan ini dibenarkan dengan syarat ada penjamin tambahan. Hanya untuk kejelasan, tujuannya ialah untuk menjalani pembedahan dan lokasinya adalah terhad kepada Jerman,” katanya.

Presiden Umno itu telah memohon pelepasan sementara pasportnya pada 26 Okt untuk berlepas ke Jerman dan dijangka kembali ke tanah air pada 21 Nov.

Sequerah adalah Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS