Hisham: Pemuda Umno di puncak kekuatan
Intipati ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di perhimpunan pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi ini.
Kekuatan Pemuda Umno dan Barisan Nasional
Kekuatan Pemuda Umno seiring dengan kekuatan Pemuda Barisan Nasional (BN). Sepanjang memimpin Pemuda BN, saya amat menghargai sokongan, semangat setia kawan dan kepercayaan yang telah diberikan. Dalam keadaan yang ada kalanya menguji kekuatan dan perpaduan sesama kita; sokongan, semangat setia kawan dan kepercayaan inilah yang menjadi benteng kekuatan kepada bahtera Barisan Nasional dari tenggelam dipukul gelora dugaan dan cabaran.
Kekuatan Pemuda BN wujud sejak sekian lama kerana ia dipupuk dan dijaga bersendikan kepada keikhlasan, persefahaman, kejujuran, tanpa rasa curiga dan syak wasangka. Lahir atas kesedaran perlunya perkongsian tanggungjawab dalam menuju destinasi bersama. Oleh itu, sebarang permasalahan dan konflik hendaklah ditangani secara bersama dengan penuh kebijaksanaan.
Negara Malaysia, politik perkauman
Pembentukan negara Malaysia yang diimpikan tidak mungkin terbina di atas pemikiran sempit, chauvinis dan keterlaluan. Jangan pertaruhkan masa depan negara di tangan mereka yang bankrap idea politik perpaduan dan keharmonian; mereka yang tergamak mengamalkan politik perkauman yang dangkal untuk menonjolkan diri sebagai `jaguh' kepada kaumnya; mereka yang hanya mahu dan mementingkan pulangan politik murahan semata-mata.
Kepada mereka, saya ingin ulangi bahawa sesungguhnya Pemuda Umno tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dalam soal masa depan negara. Kita akan pastikan tidak ada tempat bagi mereka menjadi pemimpin dalam perjuangan Parti Barisan Nasional. Mmengingatkan Pemuda Umno agar tidak terjebak dalam permainan politik kebencian, tetapi mementingkan kesatuan, sikap toleransi yang tinggi dan sifat bertanggungjawab; yang menjadi teras kepada kekuatan Barisan Nasional selama ini.
Keris pusaka
Keris tidak seharusnya dianggap sebagai satu lambang penjajahan ke atas kaum bukan Melayu, bukan juga satu simbol penganiayaan kepada mereka dan tidak sekali-kali merupakan penindasan ke atas kaum bukan Melayu oleh orang Melayu. Sekali lagi saya tegaskan bahawa tiada apa yang perlu ditakuti dan digusari terhadap Keris Panca Warisan kerana sebenarnya ia adalah lambang manifestasi Tekad Baru Pemuda - satu tekad untuk mengupayakan orang Melayu melalui perjuangan Pemuda Umno; Tekad yang berlandaskan kepada pancaran lima rukun idealisme Pemuda iaitu Rukun Islam, Rukun Iman, Rukun Negara, Agenda Melayu dan Jati Diri. Ia juga mengajar kita untuk sentiasa membina kekuatan dalam menghadapi setiap cabaran.
Kesetiaan kepada Umno
Ketaatan adalah tonggak kekuatan parti dan negara. Maka saya mengharapkan agar Pemuda yang telah sekian lama setia berpegang pada prinsip ketaatan kepada parti dan pemimpin ini dapat menggunakan kematangan dan kewarasan dalam menghadapi sebarang situasi sukar agar pemimpin kita terus dipertahankan dan parti keramat Umno ini dapat terus menjadi wadah kepada orang Melayu dan agama suci Islam.
Pada masa yang sama Pemuda tidak melupai jasa dan pengorbanan para pemimpin ulung Umno. Walauapa pun yang telah zahir dan dizahirkan dalam polemik di akhir-akhir ini, Pemuda akan terus membudayakan kebenaran dan menghormati lagi menghargai jasa pemimpin. Pemuda bukan tergolong kepada ungkapan 'hilang di mata hilang di hati'. Presiden yang membimbing kita disokong tanpa berbelah bagi; pemimpin terdahulu tetap dihormati dan dikasihi. Di sinilah letaknya budi bahasa dan tata susila Melayu. Kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad - kami terhutang budi. Kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi - terus pimpinlah kami.
Budaya Melayu bila sengketa bermula
Dalam budaya Melayu, bila sengketa bermula. Ia bermain dengan penuh kiasan, pantun, lambang, ibarat, tamsil dan perumpamaan yang sarat dengan nilai-nilai luhur dan kehalusan budi. Ia adalah lambang kelunakan hati-budi dalam mengungkai segala permasalahan. Demikianlah pula yang terjadi dalam soal kepimpinan UMNO yang tentunya dapat dirungkaikan dalam adat dan syarak selagi ia berhajat membawa kepada kebaikan.
Kedudukan Islam dan orang Melayu dalam Perlembagan
Pemuda Umno khuatir yang menyentuh perasaan dan hati nurani orang Melayu dan umat Islam. Jangan sewenang-wenangnya mempermain, mempertikai dan mencabar kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini. Sebarang gerakan atas nama gerakan apa sekalipun, hatta atas nama kebebasan beragama, kebebasan bersuara atau kebebasan media, tidak akan dibiarkan mencabar hak dan kedudukan yang termaktub jelas dalam Perlembagaan Negara.
Pemuda memberi amaran kepada 'Kumpulan Artikel 11' supaya jangan cuba untuk membangkitkan isu berkaitan Artikel 11 dan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Jika usaha negatif sebegini tidak dibendung maka ia akan mendatangkan implikasi yang amat besar terhadap keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi selama ini. Pemuda Umno mendesak perhimpunan ini agar kerajaan menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama.
Agenda Melayu dalam Misi Nasional
Agenda Melayu diletakkan secara tersurat di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) tanpa meminggirkan kedudukan kaum-kaum lain. Rancangan ini adalah Misi Nasional di mana strategi pertumbuhan dengan pengagihan yang digagaskan adalah untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia.
Misi Nasional ini adalah falsafah pembangunan yang merupakan perkongsian tulen bersandarkan kepada semangat kontrak sosial yang telah dipersetujui selama ini. Agenda Melayu dalam Misi Nasional pula tidak wajar dianggap sebagai 'zero-sum game', dengan mengatakan hanya orang Melayu sahaja yang untung dan bukan Melayu akan rugi. Mereka perlu berani untuk mengakui bahawa sepanjang pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), orang bukan Melayu juga turut mendapat manfaat, secara langsung dan tidak langsung melalui projek-projek di dalam pelbagai sektor.
Syarikat Milik Kerajaan (GLC)
Pemuda mahu GLC memainkan peranan yang lebih bersungguh-sungguh dalam mengatasi pelbagai isu ekuiti dan pekerjaan. Kerajaan memberikan kepercayaan dan tanggungjawab penuh kepada GLC untuk sama-sama membantu menjayakan Misi Nasional seperti yang diamanahkan kepada Khazanah Nasional, Sime Darby dan Petronas dalam membangunkan koridor wilayah-wilayah. Selain memberi fokus bagi memastikan kejayaan pembangunan koridor ini, Pemuda mengharapkan agar mereka juga memberi penekanan dalam menyediakan program latihan dan perancangan penempatan, khususnya untuk siswazah yang berkelayakan dan yang menganggur.
GLC perlu memastikan kemajuan pengusaha kecil dan sederhana dijadikan penunjuk utama kejayaan GLC dan bukan hanya bersandarkan keuntungan semata-mata. Ini kerana masih terdapat situasi di mana syarikat GLC dan Perbadanan Kemajuan Negeri bersaing dengan ahli perniagaan kecil dan sederhana Bumiputera dalam mengejar projek. Ini persaingan yang tidak sihat malah bertentangan dengan tugas dan peranan mereka. Pemuda akan terus membuat pemantauan agar suasana seperti ini tidak berterusan.
Ketirisan
Ketirisan akan meletakkan orang Melayu lebih jauh dari kedudukan ekonomi yang disasarkan. Ketirisan menyebabkan keuntungan ratusan juta ringgit yang sepatutnya menjadi milik Melayu berpindah tangan. Lantaran itu Pemuda ingin melihat pendekatan yang bersungguh-sungguh dilaksanakan bagi membentuk kumpulan usahawan Melayu yang berdikari, mampu bersaing dan memiliki sikap terpuji.
Pemuda sekali lagi ingin mengulangi permintaan yang dibuat dalam perhimpunan tahun lalu, iaitu keinginan untuk melihat agar Unit Penyertaan Bumiputera digerakkan segera bagi menjayakan pelan pembangunan Misi Nasional.
Pariti pendapatan dan pegangan ekuiti
Pariti pendapatan antara bumiputera dan bukan bumiputera, adalah sesuatu yang masih membimbangkan. Malahan ia semakin melebar. Sebagai contoh jurang pendapatan antara Bumiputera dan etnik Cina pada tahun 2004 ialah 1:1.64.
Justeru, apakah menjadi suatu kesalahan sekiranya Kerajaan berusaha untuk mengurangkan kepada nisbah 1:1.5 pada tahun 2010? Apakah menjadi suatu dosa sekiranya jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar dapat dikurangkan daripada kedudukan 1:2.11 pada tahun 2004 kepada 1.2 dalam tahun 2010?
Dalam tahun 2020 jumlah ekuiti negara dijangka meningkat pada jumlah RM4,000 bilion. Sekiranya bumiputera ingin mencapai 30 peratus, ianya memerlukan sebanyak RM1,200 bilion. Walau bagaimanapun dalam tahun 2004, jumlah milikan ekuiti Bumiputera hanyalah berjumlah RM100 bilion sahaja.
Syarikat bumiputera
Kesungguhan mengatasi isu-isu ketirisan ini akan dapat mempercepatkan kedudukan keseimbangan antara bumiputera dan bukan bumiputera sama ada dalam soal agihan harta, pekerjaan atau merapatkan jurang pendapatan. Kesemuanya ini akan dapat menjawab sindiran-sindiran secara terbuka kononnya Agenda ekuiti Bumiputera sudah tercapai.
Kaedah rasmi kerajaan yang lebih meluas dengan menggunakan fakta yang menyeluruh, jelas menunjukkan pemilikan Bumiputera masih di tahap 18.9 peratus. Inilah realiti ekonomi negara yang boleh dilihat dengan mata kita sendiri berbanding dengan kajian Asli yang langsung tidak memijak bumi yang nyata. Amat malang apabila sebuah kajian yang dibuat lebih bersifat polemik daripada menunjukkan kebenaran yang
sahih.
Memperkasa Bahasa Kebangsaan
Perjuangan memperkasa bahasa kebangsaan adalah usaha yang berterusan bagi memastikan Bahasa Melayu dihormati, diutamakan, dimuliakan dan dimartabatkan oleh setiap yang mengaku dirinya Bangsa Malaysia. Tugas memperkasa bahasa kebangsaan adalah tugas kita semua; tugas dan tanggungjawab setiap rakyat mahupun kumpulan yang ghairah memperjuangkan konsep Bangsa Malaysia.
Selama ini, kita sentiasa meminta DBP mendekati rakyat pelbagai kaum tetapi dalam gelombang baru ini, saya berpendapat adalah menjadi tanggungjawab rakyat juga untuk mendampingi DBP kerana DBP tidak akan bererti tanpa sokongan rakyat.
Penangguhan Pemilihan Parti
Pemuda mengalu-alukan keputusan Majlis Tertinggi menangguhkan pemilihan Umno sehingga pilihanraya akan datang. Keputusan ini akan menyumbang kepada usaha untuk menumpu pengukuhan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12. Penangguhan pemilihan kepimpinan ini perlu kita sahut dengan mengelak dan mengurangkan pergeseran sesama kita kerana sesungguhnya kempen keterlaluan untuk merebut jawatan sudah tentu akan menyemai benih-benih perpecahan di antara kita. Situasi ini perlu
dielak dari berlaku dalam apa jua keadaan.
Bendera Umno dinamakan Sang Saka Bangsa
Pada tanggal 29 1946, di persidangan kedua Majlis Agung Umno di Dewan Bandaran Ipoh, Perak, telah menyaksikan detik bersejarah kelahiran bendera Umno, Mulai dari saat itu, bendera Umno yang dicadangkan oleh Persatuan Ikatan Setia Kampung Baru, Kuala Lumpur banyak menyaksikan
peristiwa suka duka sejarah perjalanan perjuangan bangsa. Bermula dengan penentangan terhadap Malayan Union, kejayaan memerdekakan negara, menangani isu konfrontasi dan ancaman komunis, sehinggalah ke hari ini kita telah dapat menyaksikan pembangunan negara berlangsung dengan pesatnya.
Setelah sekian lama berkibar megah dan terpampang indah di serata pelosok negara, maka Pemuda Umno mencadangkan agar bendera keramat Umno ini dinamakan 'Sang Saka Bangsa'.