Hisham berpantun perjelaskan maksud
Tidak seperti kebiasaannya, kali ini ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dihiasi dengan pantun dan ungkapan untuk memperjelaskan lagi maksud ucapannya.
Tidak seperti kebiasaannya, kali ini ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dihiasi dengan pantun dan ungkapan untuk memperjelaskan lagi maksud ucapannya.
Bagi menegaskan pentingnya taat setia ahli-ahli Umno kepada para pemimpin parti tersebut, Ketua Pemuda Umno itu berpantun:
Angkut-Angkut terbang ke langit,
Mati disambar anak merbah,
Tertangkup bumi dengan langit,
Setia kita tak kan berubah.
Dalam mengulas kenyataan seorang pemimpin negara luar yang mendakwa kaun Cina di Malaysia dipinggirkan, Hishammuddin menjawabnya melalui pantun berikut:
Anak Dagang dari seberang,
Bawa jual ikan tenggiri,
Mengata orang jangan sebarang,
Tak pernah cermin diri sendiri.
Mengenai konsep bangsa Malaysia pula, beliau menjelaskan syarat-syaratnya melalui pantun di bawah:
Ramai sudah orang Kampuchea
datang mendadak merayu-rayu
Jangan mudah berbangsa Malaysia
selagi tidak berbahasa Melayu
Hishammuddin juga memperjelaskan ciri-ciri seorang pemimpin melalui ungkapan berikut:
Adat memegang kepercayaan orang,
Jangan sekali main belakang;
Adat memegang kekuasaan,
Jangan sekali merosak-binasakan;
Adat memegang kebebasan,
Jangan sekali lupa batasan.
Kita turut diajar tentang sifat pemimpin Melayu yang luhur. Masyarakat
telah mengenal rangkap berikut sejak turun temurun dalam usaha menentukan
pemimpin;
Tuah kain pada tenunnya,
Tuah pemimpin pada santunnya;
Tuah kayu elok buahnya,
Tuah Melayu elok maruahnya;
Elok kain elok raginya,
Elok pemimpin elok negerinya.
Tetapi sekiranya sudah wujud gangguan dalam kepimpinan,
Bila kain sudah koyak,
Bila dipakai aib tersingkap,
Bila pemimpin sudah rosak,
Bila dipakai umat menghidap,
Bila kain sudah lapuk,
Bila dipakai tentulah koyak,
Bila pemimpin akhlaknya buruk,
Aib terburai umat bergasak.

