Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP dakwa kontrak 5G berganda mahal, menteri jawab sebaliknya
Diterbitkan:  Oct 13, 2021 5:53 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

PARLIMEN | Kos RM11 bilion kontrak 5G rangkaian dan ekosistem generasi kelima Malaysia jauh lebih rendah daripada anggaran awal yang dianggarkan sebanyak RM15 bilion, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata bahawa laporan Pasukan Petugas Khas 5G Kebangsaan sebanyak RM7.5 bilion hanya untuk sebuah rangkaian liputan dan tidak mengambil kira apa-apa pelaburan dalam kapasiti yang diperlukan.

"Laporan Pasukan Petugas tersebut turut menyatakan bahawa kos yang dinyatakan merupakan anggaran indikatif dan bukan anggaran yang pasti tertakluk kepada beberapa andaian subjektif seperti rundingan dengan vendor.

"Berdasarkan anggaran yang dinyatakan juga, pelaksanaan rangkaian 5G secara kolektif oleh kesemua operator rangkaian mudah alih sedia ada berkemungkinan melibatkan kos melebihi RM30 bilion bagi negara secara keseluruhannya, berbanding hanya RM11 bilion bagi DNB (Digital Nasional Berhad).

"Malah, jumlah kos pemilikan (total cost of ownership) sebanyak RM11 bilion bagi 10 tahun akan datang juga jauh lebih rendah daripada anggaran awal kos rangkaian 5G yang dianggarkan sebanyak RM15 bilion," katanya pada jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan Lim Lip Eng (PH-Kepong) pada Isnin 11 Okt.

Terdahulu, Lim bertanya mengenai proses pemberian kontrak 5G yang bernilai RM11 bilion kepada Syarikat Ericsson, dengan tambahan RM3.5 bilion berbanding anggaran awal RM7.5 bilion.

Pada bulan Julai, dilaporkan bahawa reka bentuk dan pembangunan rangkaian 5G nasional akan dilakukan oleh Ericsson dengan jumlah anggaran RM11 bilion, termasuk penyewaan menara dan penyewaan serat (fiber).

DNB, ditubuhkan dengan tujuan khas milik kerajaan untuk membangun, memiliki dan mengoperasikan infrastruktur 5G Malaysia berkata bahawa pelaksanaan tender yang ketat telah dimulakan pada bulan Mac 2021.

Zafrul menjelaskan proses tender 5G telah bermula pada April tahun ini dengan empat belas (14) buah syarikat pembekal perkakasan rangkaian (“Network Equipment Provider” atau NEP) global telah dikenalpasti melalui tinjauan pasaran.

"Daripada senarai tersebut, lapan buah NEP telah dijemput untuk mengemukakan Pelawaan Tunjuk Minat (“Expression of Interest” atau EOI) berdasarkan dua (2) kriteria, iaitu:

"Pertama, pengalaman melaksanakan rangkaian 5G yang telah terbukti.

"Kedua, local presence dengan izin atau mempunyai operasi di Malaysia," katanya.

Menurutnya, daripada lapan buah NEP yang dijemput untuk mengambil bahagian dalam Pelawaan Tawaran (“Request for Proposal” atau RFP), hanya empat buah NEP yang telah mengemukakan tawaran.

Tambahnya, Ericsson telah mendapat penilaian tertinggi bagi ketiga-tiga kriteria iaitu teknikal dan keupayaan (55 peratus), komersial (30 peratus) dan sosio-ekonomi (15 peratus) telah ditetapkan untuk menentukan pembida yang berjaya.

"Dari segi teknikal, Ericsson telah mencadangkan rangkaian yang kalis masa depan (“future-proof”) dan mampan, dengan fungsi-fungsi siber keselamatan yang jitu untuk memenuhi objektif DNB mencapai liputan 80 peratus kawasan berpopulasi pada tahun 2024.

"Dari segi kos, Ericsson telah menawarkan harga paling kompetitif manakala dari segi sosio-ekonomi, Ericsson telah memberi komitmen kepada program pembangunan sosio-ekonomi paling berimpak, termasuk penggunaan vendor tempatan dan Bumiputera," katanya.

Sementara itu, Lim turut meminta Zafrul berhubung tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilakukan tentang pemberian kontrak ini.

Zafrul berkata SPRM bebas untuk menjalankan siasatan sekiranya mempunyai bukti terdapat unsur salah laku dalam proses tender 5G yang dijalankan.

"Walau bagaimanapun, Kementerian Kewangan tidak bersetuju sekiranya SPRM diminta menjalankan siasatan hanya berdasarkan prejudis.

"Pihak DNB atas dasar ketelusan turut telah mengadakan sesi taklimat awal kepada beberapa orang ahli parlimen mengenai pelaksanaan 5G yang telah diadakan pada 23 Julai 2021 yang lalu," katanya.

Katanya, sesi tersebut telah dihadiri sebelas orang ahli parlimen termasuk Ahmad Faizal Azumu (PN-Tambun), Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai), Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) dan Ong Kian Ming (PH-Bangi).

Sebelum ini, Ketua Pemuda Pejuang Abu Hafiz Salleh Hudin mendesak kerajaan untuk membatalkan DNB, mendakwa ia akan merugikan wang pembayar cukai.

Katanya, kerajaan patut menggunakan penyedia telekomunikasi tempatan yang ada untuk mengembangkan rangkaian daripada kerajaan membelanjakan RM15 bilion untuk menubuhkan DNB. 

Lihat Komen
ADS