SMS Murtad: 'Raja Sherina' diberi 48 jam hubungi polis
Polis hari ini memberi tempoh 48 jam kepada seorang wanita dikenali sebagai "Raja Sherina" berusia 40-an untuk tampil membantu dalam siastan berhubung penyebaran SMS yang mendakwa sekumpulan orang Melayu akan dikristiankan di sebuah gereja di sini pada 5 November lalu.
"Raja Sherina" diminta menghubungi Pegawai Turus D9 DSP Shahadan Jaafar di IPK di talian 05-24 51 222.
Ketua Polis Perak Datuk Abdul Aziz Bulat berkata sekiranya wanita yang dipercayai berasal dari Kedah itu tidak tampil ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) di Ipoh dalam tempoh itu, polis akan menyiarkan gambarnya melalui media.
"Nama yang kita perolehi adalah Raja Sherina tetapi kita tidak tahu sama ada nama yang dia gunakan itu adalah nama sebenar atau nama samaran dan kita juga belum mengetahui mengenai pekerjaannya," katanya kepada pemberita di Ipoh.
Pada 5 November lalu, lebih 500 umat Islam dan juga wakil beberapa pertubuhan berkumpul di hadapan sebuah gereja di Silibin di Ipoh selepas tersebar SMS menyatakan pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor akan mengkristiankan sejumlah orang Islam.
Menurut laporan Bernama, dalam SMS itu, nama Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria turut dikaitkan sebagai pihak yang mengesahkan akan berlaku upacara pembaptisan itu.
Laporan polis
Ahad lalu, Harussani menyatakan rasa kesalnya dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan SMS mengaitkan namanya berhubung isu pembaptisan itu.
Beliau turut berkata seorang wanita membuat pendedahan mengenai upacara berkenaan dengan mengirimkan SMS kepadanya selain datang berjumpa beliau.
Abdul Aziz berkata polis mengenal pasti wanita berkenaan menerusi siasatan terhadap nombor telefon bimbit prabayar yang digunakannya dengan bantuan syarikat telekomunikasi.
Beliau berkata, siasatan terhadap beberapa individu lain juga sudah dijalankan berhubung penyebaran SMS berkenaan dan yakin kes itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu dua lagi.
Sementara itu di Langkawi, Bernama melaporkan, pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor membuat laporan polis di ibupejabat polis daerah itu, berhubung SMS yang mengaitkan namanya majlis baptis orang Islam di sebuah gereja di Ipoh.
Azhar yang akan mencapai usia 50 tahun pada Februari depan berkata, laporan itu dibuat berikutan terdapat pihak tertentu membuat kenyataan secara terbuka selepas SMS itu tersebar hingga menimbulkan kekeliruan orang ramai.
"Saya menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai yang ingin tahu perkara sebenar," kata Azhar yang mencipta rekod mengelilingi dunia secara solo menggunakan kapal layar "Jalur Gemilang" pada 1999.
Tumpu pada perniagaan
Ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) di Langkawi hari ini, dia berkata, sebarang kenyataan berhubung perkara itu perlu dibuat oleh pihak atasan atau pihak berkuasa dan bukan orang ramai.
"Kita bukan nak kira siapa betul siapa salah, kita nak tahu puncanya, berilah masa kepada Polis untuk membuat siasatan," katanya.
Azhar berkata walaupun SMS itu mengganggu ketenangannya, namun beliau tetap bertekad untuk memberi sepenuh tumpuan terhadap perniagaan industri kapal layarnya.
Beliau kini mengendalikan Telaga Harbour Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan tempat berlabuh kapal layar dari seluruh dunia, di Pantai Kok, Langkawi.
Mengenai rumah terbuka itu, Azhar gembira kerana dapat beramah mesra dengan ketua-ketua jabatan dan orang ramai dalam suasana berhari raya.