Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas Pandora: Pihak berkuasa boleh ambil tindakan jika ada bukti, kata PM
Diterbitkan:  Oct 16, 2021 12:53 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

Pihak yang terlibat dalam pendedahan Kertas Pandora boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa sekiranya terdapat bukti berhubung pendedahan tersebut, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata kerajaan bersikap terbuka sekiranya individu tersebut mempunyai bukti pelanggaran undang-undang negara.

"Dalam negara (ini) kita terbuka, kalau didapati ada kes terhadap sesiapa pun, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan. Kita terbuka dan serah kepada pihak berkuasa

"Pihak berkuasa baca semua, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baca semua baca berita yang dikeluarkan.

"Justeru, terserah kepada pihak berkuasa, kita tidak menyekat tindakan daripada pihak berkuasa kepada sesiapa, tetapi mesti ada bukti. Kalau tak ada bukti, tak bolehlah," katanya lapor BH Online hari ini.

Kertas Pandora merujuk kepada sejumlah dokumen yang dibocorkan kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ), yang juga merupakan rakan kongsi Malaysiakini.

Kebocoran itu berasal dari sejumlah syarikat yang membantu pelanggan menubuhkan atau menguruskan akaun luar pesisir dan syarikat di syurga perlindungan cukai (tax haven).

Malaysiakini telah mendedahkan beberapa tokoh yang dinamakan termasuk Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menteri kewangan, Yamani Hafez Musa, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Anggota Parlimen Selayang William Leong dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Bagaimanapun sebahagian daripada mereka menafikan melanggar undang-undang dan mengatakan semua cukai yang perlu dibayar telah dibayar.

Meskipun memiliki akaun luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, perbuatan itu boleh mengakibatkan kehilangan pendapatan kepada kerajaan.

Lihat Komen
ADS