Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Klip video ibu tunggal dijatuhi hukuman mati atas kesalahan dadah tular
Diterbitkan:  Oct 17, 2021 4:15 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Sebuah klip video yang memaparkan ibu tunggal menangis sejurus dia dijatuhkan hukuman mati mandatori kerana memiliki dan menyebarkan dadah tular di media sosial.

Hairun Jalmani, 55, ibu tunggal kepada sembilan anak dijatuhkan hukuman mati mandatori di Mahkamah Tinggi Tawau pada hari Jumaat setelah didapati bersalah memiliki dan mengedar dadah tiga tahun lalu.

Dalam klip video itu, dia dilihat menangis sambil dipimpin oleh seorang pegawai polis wanita.

Hakim Mahkamah Tinggi Alwi Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuat kes prima facie sementara pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Tertuduh, yang juga penjual ikan, didakwa memiliki syabu seberat 113.9 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pangkalan Wakuba, Batu 15, Jalan Apas, Tawau, Sabah pada pukul 5.30 petang, 10 Januari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika disabit kesalahan.

 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran, sementara tertuduh diwakili peguam Darmin Acho.

Pendakwaan mengemukakan empat saksi sementara pihak pembelaan mengemukakan dua saksi termasuk tertuduh sendiri.

Penyokong pembaharuan undang-undang mengenai dadah mengatakan bahawa sebahagian besar daripada lebih dari 1,300 tahanan yang dijatuhkan hukuman mati kerana kesalahan yang berkaitan dengan narkotik, dan kebanyakan mereka yang dihukum adalah penagih, keldai dadah atau pengedar kecil-kecilan.

Dalam pada itu, Anggota Majlis Saintifik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Adeeba Kamarulzaman membuat hantaran di Twitter mengenai hukuman yang dijatuhkan terhadap Hairun.

"Ini sangat menyedihkan. Sudah tiba masa untuk memulakan perbincangan dan meneruskan usaha menghapuskan hukuman mati.

"Selalunya hanya mereka yang terdesak dan berada di kedudukan paling bawah rantaian (pengedaran) yang perlu membayar harganya (menerima hukuman). Ia tidak akan dan tidak pernah menyelesaikan masalah dadah," katanya.

 

Sebelum ini, timbul gesaan supaya kerajaan mengkaji cadangan pemansuhan hukuman mati khususnya Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pakar undang-undang mendakwa lazimnya hukuman mati dikenakan bukan terhadap ketua sindiket dadah, sebaliknya individu yang dipergunakan sebagai ‘keldai dadah’.

Setakat Februari 2019, 1,281 banduan akhir dilaporkan sedang menunggu hukuman mati di negara ini, dengan 73 peratus telah disabitkan kesalahan mengedar dadah bawah Seksyen 39 (b).


Lihat Komen
ADS