Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat penahanan rakyat M'sia disyaki seludup 450kg dadah di Australia

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup dadah ke negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain berkata siasatan sedang dilakukan melalui kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM dan pihak Polis Persekutuan Australia (AFP).

Razarudin berkata semua tindakan akan diambil oleh PDRM dalam memastikan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah dapat dibanteras tanpa kompromi.

“Media melaporkan seorang warga Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram heroin bernilai RM431.8 juta ke negara berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan pihak berkuasa Australia telah merampas dadah terbabit dalam satu siri serbuannya dan menurut kenyataan AFP, dadah itu ditemukan dalam kontena yang membawa jubin dari Malaysia ke Melbourne.

Lelaki yang tidak dinamakan dalam kenyataan itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne pada Jumaat.

-Bernama

Lihat Komen
ADS