Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Najib Razak untuk memperoleh semula pasportnya buat sementara waktu bagi membolehkan bekas perdana menteri itu menemani anak perempuannya yang akan bersalin di Singapura.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Kamaludin Md Said pagi ini sebulat suara membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu agar pasportnya dipulangkan dari 20 Oktober hingga 22 Nov.

Kamaludin dalam keputusannya hari ini berkata, penjelasan daripada pihak pembelaan agar pasport itu dipulangkan adalah munasabah.

"Dalam hal ini, pihak pendakwa raya tidak keberatan, dan kami dapati penjelasan bagi permohonan itu munasabah, oleh ini permohonan dibenarkan," kata Kamaludin.

Anggota panel hakim lain yang bersidang hari ini ialah P Ravinthran dan Abu Bakar Jais.

Pada 15 Okt lalu, Najib mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan sementara pasportnya untuk ke Singapura bagi bersama anak perempuannya, Nooryana Najwa yang akan bersalin di negara itu.

Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan isteri Najib, Rosmah Mansor, untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi tujuan sama.

Sebelum ini Rosmah menyerahkan pasportnya kepada Mahkamah Tinggi sebagai syarat jaminan sementara menunggu perbicaraan kes rasuah membabitkan projek tenaga solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. Rosmah dibenarkan memperoleh sementara pasportnya dari 21 Okt hingga 21 Nov.

Semasa prosiding di Mahkamah Rayuan pagi ini, peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah menjelaskan bahawa tempoh untuk memulangkan sementara pasport itu adalah dari 20 Oktober hingga 22 November.

Peguam itu berkata Najib hanya akan ke Singapura pada 3 November, setelah Ahli Parlimen Pekan itu mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai Belanjawan 2022 di parlimen.

“Pada 3 November, dia bertolak ke Singapura kemudian menjalani kuarantin (yang diwajibkan kerajaan Singapura) selama 10 hari di Singapura. Dia boleh bertemu kembali dengan anak perempuannya pada 14 November.

"Dia akan kembali ke KL (Kuala Lumpur) pada 20 November, memberinya sekitar enam hingga tujuh hari, (iaitu) seminggu, untuk bersama anak perempuannya untuk tujuan yang dinyatakan.

"20 Nov adalah hari Sabtu. Dia berjanji akan memulangkan pasportnya pada 22 November, Isnin.

"Pasport ini akan dikembalikan oleh orang tengah, mungkin melalui bantuan saya, kerana dia akan dikuarantin, jadi dia sendiri tidak boleh memulangkan pasport," jelas Shafee.

Apabila Fairuz memberitahu panel hakim bahawa pihak pendakwaan tidak keberatan dengan permohonan itu, Kamaludin membenarkan permohonan untuk mengembalikan pasport Najib untuk sementara waktu.

Ketika Shafee bertanya mengenai syarat bahawa Najib perlu melaporkan ke balai polis terdekat dua kali sebulan, Kamaludin mengatakan mereka sendiri boleh memberitahu balai polis mengenai apa yang diputuskan di Mahkamah Rayuan hari ini.

Lihat Komen
ADS