Dua anggota UTK didakwa bunuh Altantuya

   

Dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK), berpangkat Cif Inspektor dan konstabel dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini bagi menghadapi tuduhan membunuh seorang model sambilan dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu, 28.

Azilah Hadri, 30, dan Sirul Azhar Umar, 35, kedua-duanya dari UTK Bukit Aman didakwa bersama-sama membunuh wanita itu antara jam 10 malam 19 Oktober hingga jam 1 pagi 20 Okt ober tahun ini, di lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Selangor.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Menurut laporan Bernama, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak. Beliau menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes di Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin dan Noorin Badaruddin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Shaun Tan Kee Shaan.

Peguam Frida Krishnan dan Badrul Munir Bukhari hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak penganalisis politik yang kini ditahan reman berhubung kes itu.

Kedua-dua lelaki itu yang kelihatan tenang di kandang tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Kemuka bantahan

Azilah yang memakai kemeja t hijau dan berseluar trek biru serta Sirul yang berkemeja dan seluar serba hitam.

Terdahulu, sebelum pertuduhan dibacakan terhadap kedua-dua tertuduh, Tan mengemukakan bantahan dengan menyatakan bahawa siasatan terhadap kedua-dua anak guamnya tidak telus.

Salehudin bagaimanapun bangun mencelah dengan menyatakan bahawa bantahan yang dikemukakan Tan tidak ada kena mengena dengan prosiding hari ini memandangkan pihak pembelaan tidak mempunyai akses kepada siasatan polis.

Tan kemudiannya berkata adalah sangat penting baginya untuk memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkara itu kerana beliau tidak diberi sebarang maklumat sama ada anak guamnya akan dituduh di mahkamah di Kuala Lumpur atau Shah Alam.

Salehudin berkata siasatan bergantung kepada polis dan di mana tertuduh akan didakwa adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang iaitu di mana kejadian itu berlaku.

Hafizah seterusnya menolak bantahan pihak pembelaan dan membenarkan pertuduhan dibacakan terhadap kedua-dua tertuduh.

Sementara itu, keadaan di mahkamah agak kelam kabut sejurus kenderaan "black maria" bertutup yang membawa kedua-dua tertuduh tiba di mahkamah pada jam 11.35 pagi apabila orang ramai yang berada di mahkamah mengambil kesempatan untuk melihat dengan lebih dekat wajah kedua-dua tertuduh yang dikawal ketat oleh kira-kira 20 anggota polis yang berpakaian preman dan beruniform.

Prosiding mahkamah

Keadaan itu menyukarkan puluhan jurugambar dan jurukamera yang menunggu sejak dari awal pagi untuk merakamkan wajah kedua-dua tertuduh.

Azilah dan Sirul dibawa keluar dari mahkamah menaiki kenderaan yang sama sejurus selepas prosiding mahkamah berakhir pada jam 12.50 tengah hari.

Tan yang ditemui pemberita kemudiannya berkata pihaknya telah dinafikan hak untuk bertemu dan bercakap dengan kedua-dua anak guamnya oleh polis.

Beliau berkata usaha untuk menghubungi dan bertemu dengan pegawai penyiasat kes itu bagi mendapatkan maklumat mengenai anak guamnya juga tidak berhasil.

"Saya tidak dapat langsung berjumpa dengan anak guam saya sehingga hari ini. Hari ini saya hanya dapat berjumpa mereka beberapa minit sahaja sebelum dibawa masuk ke dalam mahkamah," katanya.

Kes pembunuhan Altantuya @ Aminah, model sambilan dari Ulan Bator, mendapat liputan meluas media tempatan dan asing setelah dikatakan ditembak sebelum mayatnya diletupkan di Empangan Tasik Subang.

Ujian DNA

Sementara itu, ujian DNA mengesahkan cebisan mayat tersebut adalah Altantuya. Menurut sumber, laporan ujian DNA itu diterima polis daripada Jabatan Kimia Petaling Jaya, semalam.

"Ujian DNA itu dapat dilaksanakan setelah pihak polis menjemput keluarga Altantuya datang ke Malaysia bagi membantu siasatan," katanya.

Antara anggota keluarga terbabit ialah bapa Altantuya, Shaariibuu Setev yang tiba di sini Khamis lepas. Shaariibuu dipercayai dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk memberikan sampel DNA Jumaat lalu.

Anggota polis diikatjamin

Sementara itu, seorang anggota polis wanita dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang ditahan berhubung kes pembunuhan Altantuya, dibebaskan dengan ikat jaminan polis hari ini.

Anggota polis berusia pertengahan 20-an, berpangkat Lans Koperal itu ditahan pada 7 November lalu bersama seorang pegawai dan anggota dari Unit Tindakan Khas (UTK) untuk membantu siasatan polis berhubung kes tersebut.

Seorang pegawai tertinggi dari Unit Pendakwaan di Pejabat Peguam Negara ketika dihubungi lewat petang Rabu mengesahkan pembebasan wanita itu tetapi enggan mengulas lanjut mengenai pembebasan tersebut.

Dua penyiasat persendirian yang ditahan Sabtu lalu untuk membantu siasatan, turut dibebaskan dengan jaminan polis.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In