Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Arak Timah: Apakah pemimpin Melayu dalam kerajaan tak malu, tanya Ibrahim

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengecam kerajaan kerana memberikan kebenaran kepada syarikat tempatan mengeluarkan arak yang menggunakan label Timah.

Presidennya, Ibrahim Ali berkata tindakan kerajaan memberikan permit untuk mengeluarkan arak itu merupakan penghinaan kepada orang Melayu dan Islam di Malaysia.

"Paling menyedihkan mereka menggunakan nama Timah. Mereka kata nama itu merujuk kepada bijih timah kerana Malaysia terkenal dengan timah, tetapi ini betul-betul menghina rakyat Melayu dan Islam di Malaysia," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu juga menempelak PAS yang sebelum ini mendakwa parti itu tidak terbabit dalam penghasilan wiski berkenaan.

"Memang betullah ia bukan projek kerajaan, bukan milik kerajaan, tapi siapa yang memberi permit? Kementerian mana? Kerajaan mana? Tanggunglah dosa di akhirat nanti," katanya.

Ibrahim sebelum itu mengulas isu suatru jenama minuman keras buatan Malaysia, Timah, yang kurang disenangi sesetengah orang dan ada antaranya menganggap sebagai cara untuk membiasakan arak kepada orang Islam.

Syarikat pengeluarnya menjelaskan perkataan Timah itu merujuk kepada salah satu komoditi yang dikeluarkan negara ini suatu ketika dulu, iaitu bijih timah. Gambar lelaki pada label berkenaan pula ialah wajah Kapten Speedy iaitu seorang pegawai British yang pernah berkhidmat di negara ini.

Pada 16 Okt lalu seorang pemimpin PAS berkata kerajaan tidak boleh dipersalahkan dengan pengeluaran arak tersebut kerana perusahaan mengeluarkan minuman keras memang sudah wujud di negara ini sejak dulu.

Penghasilan berkenaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary, bukanlah dikeluarkan kerajaan.

Justeru kata ahli parlimen Pengkalan Chepa itu lagi, tidak wajar bagi sesiapa mengaitkan perkara tersebut dengan kerajaan seperti yang tular di media sosial sekarang.

"(Pengeluaran arak itu) Bukan usaha kerajaan, tetapi inisiatif pihak lain... tiada pun campur tangan kerajaan dalam perkara ini," katanya. 

Menurut Ibrahim agama rasmi bagi negara ini ialah Islam dan majoriti penduduknya menganut agama itu. Malaysia pula, katanya mengamalkan sistem raja berpelembagaan.

"Apakah pemimpin-pemimpin Melayu yang berada di kerajaan hari ini tidak malu, tidak bermaruah?" katanya.

Tambah Ibrahim, Putra akan terus mendesak kerajaan agar nama Timah ditarik balik dan gambar pada botol itu ditukar.

"Kalau boleh batalkan lesen minuman tersebut," katanya.

Lihat Komen
ADS