Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan setuju pinda status rakan sekutu Sabah, Sarawak
Diterbitkan:  Oct 20, 2021 10:54 AM
Dikemaskini: 2:55 AM

Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersetuju cadangan pindaan membabitkan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung.

Pindaan tersebut akan dibentang di parlimen yang akan mula bersidang Isnin depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Maximus Johnity Ongkili berkata keputusan tersebut dipersetujui semasa mesyuarat MKMA63, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, Isnin lalu.

"Pindaan itu akan mentakrifkan semula maksud persekutuan," menurutnya dalam satu kenyataan semalam.

Ongkili berkata pindaan tersebut berbeza dengan usul kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018, terutama dalam mentakrifkan semula 'persekutuan' bagi Perkara 160 (2) Perlembagaan.

"Pindaan ini akan menentukan status semua negeri di Malaysia sejajar dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, MA63 dan status setelah Singapura keluar pada tahun 1965.

"Sementara itu, MKMA63 akan terus membincangkan perkara-perkara tertunggak dan memastikan hak rakyat Sabah dan Sarawak dipulihkan, terutamanya melalui jawatankuasa penyelesaian masalah di bawah MKMA63," kata Ongkili.

Jawatankuasa khas itu turut bersetuju memberi kuasa kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan lesen untuk penangkapan ikan laut dalam, katanya.

Awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar menetapkan 26 Oktober untuk mengemukakan rang undang-undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan Persekutuan mengenai status Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, RUU itu harus diteliti oleh Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg terlebih dahulu. Sekiranya berjaya, kabinet akan memutuskan pada 22 Oktober.

Selepas itu ahli parlimen boleh meneliti rang undang-undang tersebut pada 25 Oktober.

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah perjanjian antara Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura.

Pada 2019, pentadbiran Pakatan Harapan membentangkan Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan mengembalikan Perkara1 (2) kepada versi 1965 yang berbunyi: "Negeri-negeri Persekutuan adalah - (a) Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan , Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu dan (b) Sabah dan Sarawak.

Versi Perkara 1 (2) ketika ini, yang dijadikan undang-undang pada tahun 1976, berbunyi: "Negeri-negeri Persekutuan adalah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu."

RUU ini, yang memerlukan sokongan dua pertiga Dewan untuk disahkan, dikalahkan kerana hanya 138 ahli parlimen yang menyokong sementara 59 lagi menolak.

Lihat Komen
ADS