Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2 pegawai SPRM didakwa tipu individu sebagai balasan selesai kes

Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu sehingga menyerahkan wang tunai sebanyak RM40,000 kepada mereka sebagai balasan untuk menyelesaikan kes, minggu lepas.

Amir Izham Shahak, 32, penolong penguasa di SPRM Cawangan Kluang, mengaku bersalah manakala Wan Kamarul Za'im Wan Mansor, 34, penguasa di SPRM Johor, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Kedua-dua mereka didakwa memperdayakan individu itu sehingga menghantar wang tunai RM40,000 kepada mereka sebagai balasan kononnya untuk membantu menyelesaikan kes yang disiasat SPRM Johor ke atas individu terbabit.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran dalam daerah Simpang Renggam, pada 7.57 malam, 14 Okt lepas.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suhaili Sapun menawarkan jaminan masing-masing sebanyak RM35,000 berserta seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu menyerahkan passport antarabangsa ke mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Mohd Salleh Togimin yang mewakili Amir Izham, memohon penangguhan hukuman serta jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga orang anak.

Peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias, yang mewakili Wan Kamarul Za'im, juga memohon agar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menyara isteri yang mengandung serta empat orang anak.

Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail kemudiannya membenarkan jaminan masing-masing sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 24 Nov ini.

-Bernama   

Lihat Komen
ADS