Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua anggota polis dituduh terima rasuah hampir RM1,900

Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,870 antara 2017 dan 2018.

Koperal Sebestino Bong, 42, dan Lans Koperal Haikal Ibrahim Abdullah, 32, yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Abu Bakar Manat.

Sebestino berdepan dua pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM300 daripada Anizan Misdaranai, 39, yang dimasukkan ke akaun bank tertuduh di Kota Belud pada 6 Jun 2017.

Haikal Ibrahim pula didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM1,570 daripada individu sama yang dimasukkan ke akaun bank tertuduh di Kota Belud dan Kota Kinabalu antara 23 Mei 2017 dan 6 Julai 2018.

Kesemua suapan wang tunai itu adalah sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap Anizan yang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Sebestino diikat jamin RM6,000 manakala Haikal Ibrahim RM8,000, masing-masing dengan seorang penjamin serta menetapkan 29 Nov depan untuk sebutan semula kes.

Pegawai Pendakwa SPRM Nurul Izzati Sapifee bertindak bagi pihak pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS