Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan perniagaan risau kelab, pub masih tutup di bawah Fasa 4 PPN
Diterbitkan:  Oct 22, 2021 11:40 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Gabungan kumpulan perniagaan bimbang apabila kelab malam dan pub masih tidak dibenarkan beroperasi semula di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, meskipun semua sektor lain telah mendapat kebenaran.

"Kami amat bimbang walaupun di bawah Fasa 4 iaitu yang terakhir, masih ada senarai negatif termasuk kelab malam dan pub yang tidak dibenarkan beroperasi.

"Tiada maklumat berkenaan jalan keluar daripada senarai itu. Kami merasakan senarai itu terlepas daripada dimansuhkan dan (kerajaan) perlu segera berbuat demikian," katanya dalam satu surat terbuka kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Surat itu ditulis oleh Industries Unite yang merangkumi 117 persatuan peniaga dan dewan perniagaan.

Gabungan itu memberi peringatan yang banyak pekerjaan kini dalam risiko dan meminta kerajaan memansuhkan apa yang mereka sifatkan sebagai "senarai negatif" itu.

Hilang pendapatan

Kata mereka lagi, senarai itu tidak lagi perlu dan kerajaan sepatutnya membenarkan perniagaan beroperasi di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Dengan penutupan pub dan kelab malam, industri gig, kreatif dan hiburan hilang sumber pendapatan memandangkan mereka tidak boleh membuat persembahan.

"Selain operator, dianggarkan (sekurang-kurangnya) 150,000-250,000 pekerjaan (langsung dan tidak langsung) dalam risiko apabila industri hiburan terus ditutup," kata mereka, sambil menambah kebanyakan pekerja kini diberi cuti tanpa gaji.

"Jika pihak berkuasa terus melanjutkan penutupan tanpa ada pelan keluar, perniagaan terpaksa ditutup dan kita akan melihat sekumpulan besar membuat tuntutan skim Bencana Pekerjaan (EIS) pada hari-hari mendatang.

"Tsunami tuntutan pengangguran ini akan memberi beban tambahan tidak perlu kepada kewangan kerajaan yang sudah pun terbeban, serta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," kata mereka.

Lihat Komen
ADS