Abdul Razak Baginda dituduh bersubahat bunuh Altantuya

   

Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas dituduh bersubahat dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Abdul Razak, 46, yang mengetuai sebuah kumpulan pemikir tempatan, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Menurut laporan Bernama, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Abdul Razak didakwa melakukan kesalahan bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35, antara jam 9.54 pagi dan jam 11.05 pagi 18 Oktober lalu di tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, di Kuala Lumpur.

Semalam, Azilah dan Sirul Azhar, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas Bukit Aman, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam kerana dituduh membunuh Altantuya, 28, yang mayatnya diletupkan di satu kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, tiga minggu lalu.

Pindah ke mahkamah tinggi

Prosiding melibatkan Abdul Razak hari ini berlangsung kira-kira 15 minit. Dia dibawa masuk ke mahkamah pada jam 2.40 tengah hari.

Abdul Razak, yang berpakaian baju biru muda berseluar warna gelap, mengangguk apabila penterjemah mahkamah bertanya sama ada dia faham mengenai pertuduhan terhadapnya.

Dia kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Majistret Aizatul Akmal Maharani mengeluarkan perintah supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi berikutan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin.

Salehuddin memberitahu pemberita kemudian bahawa tarikh sebutan bagi kes itu belum ditetapkan.

"Sebaik tarikh ditetapkan, pihak pendakwaan akan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan bersama dengan Azilah dan Sirul Azhar," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In