Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemandu lori didakwa rogol, rompak RM200 dari wanita Myanmar
Diterbitkan:  Oct 22, 2021 9:32 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

Seorang pemandu lori hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth atas pertuduhan melakukan seks luar tabii dan merogol seorang wanita warga negara Myanmar serta merompak.

Zul Mazuan Zul Hilman @ Suresh Kumar, 25, mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap wanita Myanmar itu di sebuah rumah di taman perumahan di Prai pada 4 pagi 12 Okt lepas mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh merompak wang tunai RM200 milik wanita itu menggunakan sebilah pisau di tempat dan waktu sama mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Zul Mazuan juga menghadapi pertuduhan merogol mangsa di tempat dan waktu sama di bawah Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa merompak wang tunai RM200 milik seorang wanita tempatan di Medan Kikik 1, Taman Inderawasih di Prai pada 5.15 pagi 9 Okt lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamarulzaman dan Nur Fazliyana Ahmad tidak menawarkan jaminan.

Peguam Y Yogeswaran dan P Vasudevan yang mewakili Zul Mazuan memohon mahkamah membenarkan anak guam mereka diikat jamin kerana bapa lelaki itu hadir ke mahkamah untuk menjadi penjamin.

Noor Aini membenarkan jaminan berjumlah RM50,000 untuk keempat-empat pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati atau berhubung dengan mangsa serta saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai, dan menetapkan 29 Nov untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS