Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM ulas kematian dua individu sudah divaksin
Diterbitkan:  Oct 23, 2021 7:49 PM
Dikemaskini: 1:30 PM

Kementerian Kesihatan mengulas mengenai dua kematian yang melibatkan individu yang sudah diberi vaksin.

Korban yang pertama ialah seorang wanita berusia 78 tahun yang disahkan positif Covid-19 ketika berada di rumah jagaan di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan semalam, Pengarah Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh mengatakan bahawa wanita itu mendapat dos pertama pada 8 Jun dan yang kedua 12 minggu kemudian pada 1 September.

Pada 6 September, lima hari setelah dos keduanya, dia positif Covid-19.

Wanita warga emas itu merupakan sebahagian daripada kluster rumah jagaan dan telah dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) dari 7 Sept sehingga kematiannya pada 12 Sept.

Kenyataan Dr Param muncul setelah anak perempuan wanita itu membuat laporan polis terhadap kementerian yang mendakwa kematian itu merupakan kesan advers selepas imunisasi (AEFI).

Dia juga mendakwa bahawa ibunya tidak dirawat dengan betul oleh pekerja penjagaan kesihatan.

Walaupun dia tidak mengesahkan atau menafikan dakwaan itu, Dr Param berkata warga emas itu meninggal dunia selepas kesihatannya merosot akibat komplikasi Covid-19.

"Pakar perubatan geriatrik merujuk ibu pengadu ke HRC kerana dia dikategorikan sebagai risiko tinggi kerana berusia lebih dari 60 tahun, serta mempunyai komorbiditi dan jangkitan Kategori 3.

“Ibu pengadu telah dirawat di HRC yang merupakan hospital Covid-19 khusus untuk warga emas.

"Namun, keadaan kesihatan wanita itu semakin buruk akibat komplikasi Covid-19 dan dia meninggal dunia pada 12 September," tambahnya.

Pengadu baru-baru ini membuat video mengenai kematian ibunya. Klip itu memperoleh lebih daripada 33,000 tontonan.

Remaja Batu Pahat

Kematian kedua melibatkan seorang gadis berusia 14 tahun dari Batu Pahat, Johor yang sudah diberi satu dos vaksin.

Menjawab pertanyaan ahli majlis tertinggi Umno dan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Puad Zakarshi, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu berkata, remaja itu menerima suntikan Pfizer-BioNTech pertamanya pada 3 Oktober.

Dia ditemui mati di ruang tamu di rumahnya lima hari kemudian pada 8 Okt. Polis telah mengklasifikasikannya sebagai "kematian mengejut".

Dr Aman berkata, gadis itu tidak menghidap penyakit atau alahan. Dia juga tidak menunjukkan reaksi buruk awal setelah menerima vaksin.

Bagaimanapun, pemeriksaan dalaman mendapati remaja itu mempunyai ketumbuhan di ovari dan anomali struktur jantung.

“Bedah siasat telah dijalankan pada 8 Okt. Pemeriksaan luaran mendapati mayat dalam keadaan baik.

"Pemeriksaan dalaman mendapati tumor di ovari dan anomali struktur jantung.

“Semua sampel tisu daripada mayat telah dihantar untuk pemeriksaan lanjut oleh pakar patologi forensik di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru,” katanya sambil menambah keputusan dijangka antara 24 dan 28 Okt.

Keputusan ujian darah yang dijalankan juga belum selesai.

Oleh itu, Dr Aman mengatakan bahawa punca kematian remaja itu masih belum dapat ditentukan.

"Laporan autopsi dikategorikan tidak lengkap kerana keputusan ujian belum diterima.

"Laporan bedah siasat lengkap diperlukan untuk menentukan punca kematiannya," tambahnya.

Semalam, Puad mendesak kementerian untuk mendedahkan hasil bedah siasat "secara telus dan segera".

Lihat Komen
ADS