Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: PN, MN boleh menang 21 kerusi jika runding bersama
Diterbitkan:  Oct 24, 2021 6:36 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Sekiranya Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka nanti, 21 daripada 28 kerusi yang ditandingi “sudah selamat” berada dalam genggaman, kata ulama PAS, Khairuddin Aman Razali.

Mengulas formula rundingan yang disebut Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Khairuddin berkata kemenangan adalah “sangat dijangka” jika Umno dan Bersatu bertanding di kerusi yang disandang mereka.

Dengan formula itu, katanya, Umno-BN akan kekal bertanding 14 kerusi, Bersatu kekal bertanding dua kerusi, manakala baki 12 lagi kerusi haruslah dibahagikan antara tiga parti.

Katanya, berbekalkan undi daripada penyokong ketiga-tiga parti - Umno, Bersatu dan PAS - kerusi-kerusi yang sedia disandang boleh dimenangi semula, manakala daripada 12 kerusi milik lawan, dia menjangkakan lima kerusi “sangat selamat untuk dimenangi atas nama muafakat.”

“Dengan itu PN dan MN gagah untuk memenangi PRN Melaka dengan 21 kerusi daripada 28 kerusi DUN Melaka.

“PH boleh tutup buku,” kata ahli parlimen Kuala Nerus itu di Facebook.

MN merupakan kerjasama antara Umno-BN dan PAS, manakala PN ialah gabungan dianggotai Bersatu dan PAS serta parti-parti lain.

Kenyataan itu hadir selepas usaha rundingan antara Umno-BN dan PN yang sebelum ini kelihatan sulit, hari ini menampakkan sinar.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata masih belum terlambat untuk Umno bekerjasama dengan mana-mana pihak, manakala Pengarah Pilihan Raya PN yang juga ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Mohamed Azmin Ali berkata PN tidak pernah menutup pintu perbincangan dengan BN untuk PRN Melaka.

Ia berbeza berbanding konotasi sebelum ini apabila PN mahu bertanding tiga penjuru di Melaka kerana tidak mahu terus menunggu Umno, manakala Umno pula menyatakan yang ia memang “tidak akan pernah” bekerjasama dengan Bersatu.

DUN Melaka terbubar selepas empat Adun menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri BN-PN. Empat Adun itu terdiri daripada dua ahli Umno, seorang Bersatu dan seorang bebas.

Sebelum DUN bubar, PH mempunyai 15 kerusi (termasuk empat yang menarik sokongan) dan BN-PN memiliki 13 kerusi.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim meminta MN dan PN untuk menumpukan usaha bagi menawan kerusi pembangkang dan mengelakkan pertembungan tiga penjuru di kerusi-kerusi yang telah dimenangi mereka pada PRU lalu.

Tuan Ibrahim turut berkata sekiranya berlaku juga pertembungan di kerusi yang dimiliki Umno atau Bersatu sebelum ini, maka katanya, PAS hanya akan menyokong parti penyandang di kerusi berkenaan.

“Saya menyeru semua pihak berunding.

“Jangan pertaruhkan kemenangan PRN Melaka kepada PH disebabkan perpecahan setelah mana kita menjadi kerajaan hari ini disebabkan oleh perpaduan antara kita,” kata Khairuddin lagi.

Lihat Komen
ADS