Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Prasarana: Set kereta api terabai di Ulu Yam bukan milik kami
Diterbitkan:  Oct 25, 2021 10:15 AM
Dikemaskini: 2:15 AM

Prasarana Malaysia Berhad berkata set kereta api Transit Aliran Ringan (LRT) yang didakwa diabaikan dalam video yang tular di media sosial, sebagai bukan milik syarikat itu lagi.

"Pemilikan set kereta api tersebut dipindahkan kepada CSR-Zhuzhou pada 2014 sebagai sebahagian daripada program beli balik (buy-back) bagi pembelian 50 set kereta api baru yang kini digunakan untuk LRT aliran Ampang-Sri Petaling," kata Prasarana dalam kenyataan semalam.

Kenyataan itu selepas siri video yang didakwa menunjukkan sejumlah kereta api yang terabai di satu kawasan terbuka di Ulu Yam, Selangor. Video tersebut tular di media sosial baru-baru ini.

Ia mencetuskan perbincangan dengan ada yang mempersoalkan mengapa kereta api tersebut, yang berhenti digunakan pada enam tahun lalu, berada di kawasan terbuka.

Menurut Prasarana, CSR-Zhuzhou mengesahkan yang kereta api itu telah dijual kepada pihak ketiga pada 2016, yang kemudian meletakkannya di satu kawasan milik persendirian di Ulu Yam.

"Memandangkan ia bukan aset mahupun tanggungjawab Prasarana, tidak sesuai untuk kami mengulas lanjut berkenaannya," kata syarikat itu.

Tidak jelas siapakah pemilik semasa kereta api itu - yang digunakan untuk LRT aliran Ampang dan Sri Petaling selama sembilan tahun sejak sistem itu mula beroperasi pada 1996.

Ia tidak lagi digunakan apabila Prasarana membeli 50 kereta api enam gerabak berjumlah RM990 juta daripada CSR-Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd pada 2015.

Lihat Komen
ADS