Didakwa hina PM, Pemuda kaji kedudukan Mukhriz
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan tindakan Exconya, Datuk Mukhriz Mahathir mengkritik ucapan dasar presiden parti, sebagai memalukan dan bercanggah dengan pendirian pergerakan yang menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan tindakan Exconya, Datuk Mukhriz Mahathir mengkritik ucapan dasar presiden parti, sebagai memalukan dan bercanggah dengan pendirian pergerakan yang menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Berikutan itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pergerakan itu akan mengkaji semula kedudukan Mukhriz sebagai exco pergerakan itu jika terus mengkritik kepimpinan kerajaan dan politik.
"Saya rasa begitu terkilan dengan kenyataan beliau (Mukhriz) kerana Pemuda menyokong ucapan Presiden parti.
''Tindakan beliau (Mukhriz) dilihat sangat melampau dan bersifat individu. Ia bertentangan dengan cara Pemuda yang membuat keputusan secara kolektif," katanya.
Mukhriz dilaporkan berkata tiada perkara baru dalam ucapan dasar Abdullah di perhimpunan agung Umno yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Laporan itu memetik Mukhriz sebagai berkata: ''Saya rasa ucapan (Presiden) itu telah disampaikan tahun lalu. Saya mengharapkan ada perkara baru. Mungkin dia (Abdullah) ada idea lain."
'Tidak faham'
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Timbalan Presiden parti, di PWTC malam tadi, Hishammuddin berkata, Mukhriz tidak faham ucapan Abdullah yang merujuk kepada janji beliau ketika menjadi Perdana Menteri yang sedang dilaksanakan.
Sambil menyifatkan perbuatan Mukhriz itu sebagai keterlaluan, Hishammuddin mahu anak bekas Perdana Menteri itu segera memberikan penjelasan mengenainya.
''Selama ini saya lihat dan teliti apa yang dibuat beliau (Mukhriz) tetapi sekarang ini sudah keterlaluan. Jika dia (Mukhriz) berterusan begini, saya kena memikirkan semula kedudukannya dalam barisan Exco saya," ujarnya.
Bernama turut melaporkan beberapa pemimpin Umno yang menyifatkan tindakan Mukhriz itu sebagai memperlekehkan ucapan presiden Umno.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said menegaskan mereka yang memperlekeh ucapan Presiden Umno itu sebenarnya tidak faham peranan parti dalam kerajaan.
Beliau juga menyifatkan mereka yang memperlekeh ucapan Abdullah mempunyai banyak muslihat.
'Satu penghinaan'
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid pula menjelaskan ucapan Abdullah sebenarnya memberi penekanan meluas terutama pembangunan luar bandar dan mewujudkan industri kampung secara berteknologi tinggi dan pengurusan sumber manusia.
Manakala Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan Mukhriz itu merupakan satu penghinaan kepada Perdana Menteri.
"Mukhriz bukan sahaja tidak meneliti tetapi tidak langsung menghayati ucapan Pak Lah kerana beliau mempunyai prasangka yang tebal kepada Pak Lah hingga mencapai ke tahap kebencian," katanya.
Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad berkata, Mukhriz sebenarnya tidak memahami dan mendalami ucapan Abdullah.
"Kalau hati dah tak betul, buat apa pun tak betul. Ini dah pergi ke peringkat personal," katanya.
Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Shahrir Samad pula menasihatkan Mukhriz supaya sedar akan tanggungjawabnya sebagai pemimpin Umno dan tidak terbawa-bawa dengan emosi sebagai anak Dr Mahathir.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Abdullah sentiasa mengingatkan orang Melayu yang mudah lupa agar menghargai Umno yang memperjuangkan nasib orang Melayu.
"Supaya orang Melayu ingat diri, jangan cepat sombong, jangan lupa diri, jangan anggap kita sudah pandai sangat, orang Melayu belum ada apa lagi, itu yang hendak disampaikan oleh Pak Lah...," katanya.
Exco Pemuda Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut membidas tindakan Mukriz itu dan menganggapnya sebagai tidak bertanggungjawab kerana mengaibkan pergerakan itu.

