Wanita Umno mahu kuasa memantau kandungan stesen televisyen swasta yang ketika ini berada di tangan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi ditarik balik dan serahkan semula kepada Kementerian Penerangan.

Wakilnya Rahimah Idris berkata, tindakan itu perlu kerana Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi gagal mengawal penyiaran rancangan yang berbentuk negatif.

"Ketika ini apa yang dapat kita lihat di kaca televisyen adalah terlalu banyak rancangan-rancangan Indonesia dan Filipina seperti drama `Bawang Putih Bawang Merah'. Tiada yang positif daripada semua rancangan ini, semuanya negatif," katanya ketika membahaskan usul di perhimpunan agung Umno di PWTC.

Bernama melaporkan, sehubungan itu, beliau mahu Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Perdana Menteri bertindak tegas mengatasi masalah itu.

Rahimah mendakwa drama Indonesia "Bawang Putih Bawang Merah" mempunyai pengaruh yang kuat terhadap masyarakat negara ini sehingga ada di antara mereka meninggalkan kerja di pejabat untuk menonton rancangan itu.

Sementara itu, Puteri Umno mahu kandungan media penyiaran seperti program hiburan, iklan TV termasuk kartun yang membawa pengaruh negatif dipantau dan ditapis sebelum ditayangkan kepada umum.

Wakilnya, Siti Azizah Omar berkata kini terdapat beberapa program termasuk kartun "Sinchan" boleh mempengaruhi kanak-kanak yang menontonnya untuk menggunakan bahasa kasar seperti dipertuturkan oleh watak kartun itu.

Kartun terbitan tempatan

Stesen televisyen tempatan boleh menggantikan program kartun yang diimport dengan kartun terbitan tempatan yang lebih sesuai dengan budaya negara ini seperti kartun Lat, "Kampung Boy" dan "Putih", katanya semasa menyokong usul agama dan sosial pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Jumaat.

Siti Azizah turut menegur keghairahan media elektronik yang berlumba-lumba mengaut keuntungan melalui program realiti SMS yang tidak berfaedah, malah merugikan masyarakat terutama golongan muda.

Antara program itu ialah SMS untuk mencari pasangan seperti program SMS SUNYI serta SMS CINTA yang tidak mendatangkan sebarang faedah, katanya.

Siti Azizah berkata memburukkan lagi keadaan ialah penyalahgunaan kemudahan teknologi di kalangan generasi muda seperti SMS lucah dan laman web lucah yang menyebabkan gejala keruntuhan akhlak bertambah serius.

Sehubungan itu, Puteri Umno mencadangkan supaya hanya satu kementerian diberikan tanggungjawab memantau semua media di negara ini supaya semua garis panduan dan dasar dapat diselaraskan.

Pada masa ini tanggungjawab itu terpisah di antara Kementerian Penerangan dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, katanya.

Siti Azizah juga mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri lebih proaktif dalam menangani masalah keruntuhan akhlak dalam masyarakat.

"Garis panduan hiburan dalam Islam, garis panduan penapisan bahan-bahan penyiaran berunsur Islam, garis panduan bahan-bahan penerbitan berunsur Islam yang disediakan Jakim perlu diperkemaskan serta meluaskan jangkauannya kepada semua jenis hiburan yang kumpulan sasarnya adalah orang Islam," katanya.

Katanya, masjid juga perlu dijadikan "pusat sehenti" untuk menjalankan aktiviti masyarakat untuk mendekatkan lagi mereka dengan ajaran Islam.