Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikecam hebat di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PTWC) hari ini kerana didakwa menjalankan aktiviti yang boleh mengancam kesejahteraan agama Islam.

Ketika membahaskan usul agama, perwakilan Pulau Pinang, Shahbudin Yahaya menamakan badan-badan tersebut sebagai Majlis Antara Agama (IFC), Pusat Komas, Projek Etika Global Pulau Pinang dan Sisters in Islam (SIS).

(IFC bukan pertubuhan NGO. Ia dianggotai oleh pelbagai NGO, tetapi cadangan penubuhannya ditolak oleh Perdana Menteri).

Shahbudin mendakwa NGO ini disokong oleh badan penyelidikan antarabangsa Konrad Adenauer Foundation (KAF).

"Mereka mengeluarkan buku mengenai liberalisme dan pluralisme agama. Ini disokong oleh Konrad-Adenauer Foundation," kata perwakilan tersebut yang juga dari Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Beliau turut menunjukkan bahan-bahan lain termasuk cakera video. Katanya, masalah yang dihadapi umat Islam sekarang ialah ancaman terhadap kestabilan Islam di Malaysia.

Bagaimanapun, tegasnya, ancaman itu bukannya datang dari dalam, tetapi dari luar negara melalui cara yang tersusun dan sistematik, yang menggunakan orang Melayu dan umat Islam.

KAF yang beribupejabat di Jermah itu mempunyai hubungan rapat dengan parti pemerintah negara itu, Christian Democratic Union.

Ia mempunyai pejabat di Malaysia dan menganjurkan majlis-majlis yang dirasmikan oleh orang kenamaan di Malaysia dan menteri kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbulkan keraguan

Kemudian Shahbudin menumpukan perbahasannya terhadap SIS. Beliau mendakwa pertubuhan itu sengaja mencari kelemahan untuk memperlekehkan sistem syariah atau perundangan Islam.

Katanya, mereka menimbulkan isu dan masalah, bukan untuk menolong, tetapi untuk menimbulkan keraguan supaya orang menolak sistem perundangan syariah.

Tambahnya, SIS menumpukan kepada beberapa kes dan dari situ, mereka memperlekehkan mahkamah syariah.

Sebaliknya, kata beliau, pertubuhan tersebut mesti memperlihatkan keikhlasannya untuk membantu membangunkan Islam dengan membantu menangani penyakit sosial dan isu-isu ekonomi sepertimana yang digariskan oleh presiden Umno.

Mengenai Projek Etika Global Pulau Pinang, Shahbudin mengecam pertubuhan tersebut kerana menganjurkan 'kunjungan' ke pelbagai tempat ibadat dan memberitahu pesertanya bahawa semua agama adalah sama.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi perhatian kepada badan bukan kerajaan berkenaan supaya "mereka tidak menggunakan kesempatan dan kelembutan kita untuk meruntuhkan agama dan bangsa kita".

'Universiti awam terbabit'

Di samping itu, katanya, kerajaan juga perlu berwaspada kerana menurutnya, terdapat agensi kerajaan dan sebuah universiti awam tempatan yang terbabit dalam aktiviti berkaitan IFC, dan Projek Etika Global Pulau Pinang itu.

Oleh itu, beliau menyarankan supaya kerajaan menyemak semula kedudukan Konrad Adenauer Foundation dan meneliti peranan yang dimainkannya.

"CD yang ditayangkan oleh yayasan itu merupakan rakaman drama pendek yang mempertikaikan hak dan keistimewaan Melayu, sistem kuota, hak bukan Melayu mendapatkan peluang, kenapa bukan Melayu tidak dapat biasiswa tanpa berdasarkan fakta, sehingga menimbulkan rasa resh di kalangan pelajar universiti," katanya.

Sehubungan, katanya, badan-badan tersebut mesti dihalang dan tidak dibenarkan bertapak di negara ini dan pada masa yang sama, pendidikan kepada masyarakat Islam diperkasakan lagi.

Shahbudin juga menggesa Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (Jakim) supaya mengambil langkah yang lebih berkesan dalam membantu usaha membanteras kegiatan seumpama yang boleh menjejaskan kestabilan agama Islam, khususnya di negara ini. Berita asal