Malaysiakini BERITA

Azhar Mansor: Saya masih beriman pada Allah Ta'ala

Muhammad Razif  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor mengakhiri kesangsian umat Islam negara ini terhadap status keislamannya hari ini apabila secara terbuka mengakui akidah dan imannya masih pada Allah Ta'ala.

"Tanggungjawab saya, pegangan dan iman saya hanya pada Allah Ta'ala. Saya menjalani hidup mengikut hukum syarak dan undang-undang negara," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Ini adalah pengakuan secara terbuka pertama daripada Azhar sendiri berhubung status keislamannya sejak tersebar khabar angin beliau telah murtad.

Spekulasi tersebut semakin hangat diperkatakan dua minggu lalu apabila tersebar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa beliau akan membaptiskan sekumpulan orang Melayu di sebuah gereja di Ipoh.

Mesej yang turut mengaitkan Mufti Perak, Datuk Seri Harrusani Zakaria itu telah mendorong lebih 500 umat Islam berkumpul di hadapan gereja tersebut hingga memaksa campurtangan pihak polis bagi menyuraikannya.

Pelayar solo itu menegaskan: "Ibu bapa saya, adik beradik saya, keluarga saya adalah Islam. Sepatutnya tak ada masalah tentang status keislaman saya.

"Tak pernahpun di mana-mana di dunia ini atau di negara ini saya membuat permohonan keluar dari Islam. Saya tak pernah bercadang pun untuk berbuat demikian," tegasnnya.

Jelaskan pegangan

Azhar ditemani Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman dalam sidang akhbar tersebut bagi menjelaskan status keislaman Azhar.

Sejak kejadian di Ipoh itu, Azhar tidak menyatakan dengan jelas pegangan agamanya.

Sebaliknya status keislamannya dipertahankan oleh pihak ketiga seperti Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Dalam sidang akhbar hari ini, Azhar turut diminta oleh wartawan supaya mengucap dua kalimah syahadah untuk menepis segala kesangsian terhadap keislamannya.

Bagaimanapun beliau enggan dengan berkata: "Tak boleh, saya tak akan buat...dunia belum kiamat, saya belum disoal..."

Azhar juga mengakui beliau sedar status keislamannya telah dipertikaikan sejak tahun 1999 dan tersebar luas di Internet.

"Bagaimanapun selama ini saya tak mengendahkannya kerana berpendapat ia perbuatan budak-budak yang tak ada kerja. Tapi sekarang ia telah mencapai tahap yang menggugat keselamatan dan ketenteraman negara. Saya telah buat laporan polis, kita tunggu hasil siasatannya nanti," katanya.

Komen Pak Lah

Beliau juga menyatakan kekesalannya terhadap sikap masyarakat yang menyamakan gaya berpakaian dan pergaulan dengan akidah seseorang.

"Saya di Langkawi menjalankan tanggungjawab saya. Saya pakai seluar pendek dan bergaul dengan ramai orang asing. Kita sepatutnya jaga diri sendiri, bukan mempersoalkan agama seseorang," tambahnya.

Sementara itu Tan Sri Abdul Hamid Othman pula berkata tidak wajar bagi mana-mana pihak menyamakan antara akidah dengan tingkahlaku seseorang.

"Akidah satu aspek lain, tingkah laku aspek lain. Kalau seseorang tak mempraktik ajaran Islam, itu satu cerita lain. Islam dia kekal," ujarnya.

Sementara itu, dalam ucapan penggulungannya, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersimpati berharap isu tersebut tidak akan ditimbulkan lagi.

"Dia telah membuat kenyataan yang sah dan muktamad bahawa dia adalah seorang Islam. Harap tidak ada isu ditimbulkan lagi, kesian padanya.

"Membuat tuduhan yang bukan-bukan sebenarnya tidak baik. Kalau dituduh seorang itu kafir, kalau dia orang islam, dosanya akan balik kepada orang yang membuat tuduhan," katanya.