Ketua-ketua Pemuda Umno negeri mengingatkan Datuk Mukhriz Mahathir jangan mencabar mereka bertindak terhadap beliau.

Seramai 13 ketua Pemuda Umno negeri mengadakan mesyuarat tergempar semalam untuk membincangkan tindakan Mukhriz mengkritik ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Rabu lalu.

Ketua Pemuda Umno Johor, Razali Ibrahim yang mewakili semua 13 katua Pemuda negeri berkenaan berkata, bukan mereka tidak sayangkan Mukhriz, tetapi mereka lebih sayangkan Umno.

Oleh itu katanya, tindak tanduk anak Tun dr Mahathir Mohamad memperlekehkan ucapan dasar Presiden itu tidak boleh diterima kerana ia tidak selari dengan kesepakatan exco pergerakan itu.

Dalam sidang akhbar bersama yang dihadiri sembilan Ketua Pemuda negeri-negeri, Razali menegaskan, tindakan anak bekas Perdana Menteri itu dianggap sebagai menghina parti, pemimpin dan Presiden Umno.

Menghadiri sidang media itu ialah Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka Norza Zakaria, Ketua Pemuda, Negeri Sembilan, Datuk Ir Jamlus Aziz, Ketua Pemuda Melaka, Ashakari Mohd Noor, Ketua Pemuda Pulau Pinang, Mohd Salim Bari, Ketua Pemuda Perlis, Rozabil Abdul Rahman, Ketua Pemuda Pahang, Khairuddin Yaakub dan Ketua Pemuda Kelantan, Dali Husin.

Ketua Pemuda Terengganu, Selangor, Kedah, Perak dan Sabah tidak hadir. Razali yang menjadi jurucakap dalam sidang media tersebut berkata, mereka memberi mandat dan menyokong sidang media tersebut.

Razali berkata, pergerakan Pemuda akan membawa isu tindak tanduk Mukhriz ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat Pemuda selepas perhimpunan ini.

"Kita akan mencadangkan tindakan yang akan diambil ke atas Datuk Mukhriz di atas tindakannya mempertikai dan menghina ucapan dasar Presiden parti.

"Pemuda tidak boleh terima tindakan beliau yang bertindak secara bersendirian, satu tindakan yang keterlaluan dan tidak boleh diterima," katanya.

Sidang media tersebut diadakan bagi menjawab kritikan Mukriz ketika mengulas ucapan dasar Abdullah dengan mendakwa tidak ada perkara yang baru dibangkitkan.

Berikutan itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Ketua Pemuda, Datuk Hishamuddin Hussein kecewa dan kesal dengan kritikan Mukhriz tersebut.

"Jangan salahkan Pemuda jika kita mengambil tindakan ke atas Datuk Mukriz. Untuk itu saya mahu beliau berfikir adakah tindakan yang dibuat oleh beliau selari dengan parti.

"Jangan cuba mencabar kami supa mengambil tindakan ke atas beliau. Kami tidak akan terperangkap dengan helahnya," katanya.

Sementara itu, Norza yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata pergerakan telah mengarahkan semua Exco Pemuda tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh disifatkan sebagai menentang pucuk pimpinan termasuk Presiden.

"Ucapan yang dibuat oleh Datuk Mukriz itu sangat kasar dan tidak sesuai diucapkan oleh seorang Exco Pemuda yang cukup matang dalam politik.

"Sekalipun ada yang menganggap itu pendapat peribadi Datuk Mukhriz...bagi Pemuda ia pendapat yang melampau dan mencemuh," katanya.

Norza berkata, Pemuda sebulat suara menyokong ucapan Presiden yang cuba meletakkan bangsa Melayu menjadi bangsa maju dan dihormati.

Ditanya sama ada Pemuda tidak membenarkan perbezaan pendapat dan hanya menjadi `yes man', beliau menafikannya dan mahukan sebarang pendapat disalurkan mengikut saluran.