Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HDK: Lanjutan 2 tahun untuk doktor kontrak hanya tangguh penyelesaian
Diterbitkan:  Oct 29, 2021 8:55 PM
Dikemaskini: 1:02 PM

Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) mengkiritik langkah kerajaan untuk melanjutkan kontrak 10,000 doktor, bukannya menawarkan jawatan tetap kepada mereka.

Gerakan di sebalik protes doktor kontrak seluruh negara Julai lalu itu menyifatkan cadangan yang terkandung dalam Belanjawan 2020 itu sebagai taktik penangguhan dan tidak menangani isu tersebut.

"Ia menangguh penyelesaian, (untuk) dua tahun lagi. Biar orang lain yang berdepan dengannya nanti," kata HDK di Twitter.

Ketika membentangkan Belanjawan 2020 hari ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan kerajaan setuju untuk melanjutkan kontrak lebih 10,000 doktor, doktor gigi dan ahli farmasi untuk dua tahun lagi.

Langkah itu bertentangan dengan desakan HDK itu sebelum ini, iaitu untuk kerajaan memberikan jawatan tetap yang menurut mereka akan memberikan keselamatan pekerjaan dan peluang peningkatan dalam kerjaya mereka.

Ketika dihubungi, jurucakap HDK Dr Mustapha Kamal Aziz turut menyuarakan kekecewaannya terhadap pengumuman itu.

"Saya tak ada apa nak komen. Kerajaan tak memandang isu penjagaan kesihatan ini sebagai penting," katanya kepada Malaysiakini.

Dia turut mempersoalkan pelanjutan kontrak itu.

"Berdasarkan statistik yang dibentang (Menteri Kesihatan) Khairy Jamaluddin di Parlimen, ada seramai 22,077 pegawai perubatan di seluruh negara.

"Jadi kalau mereka hanya beri (lanjutan) kepada 10,000 orang, lagi 12,000 yang lain nak campak mana?

"Kegagalan kerajaan merangka dasar menyebabkan kita berada dalam situasi ini," katanya lagi.

Pengumuman itu juga tidak disambut baik Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) - persatuan doktor yang utama di Malaysia.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai (gambar) berkata, pihaknya meminta kerajaan melanjutkan kontrak pegawai perubatan antara tujuh hingga 10 tahun.

"Namun lanjutan dua hingga empat tahun diberikan untuk memberi peluang kepada pegawai perubatan untuk menyambung kepakaran.

"MMA akan meneruskan perbincangan berkenaan isu ini dengan kerajaan," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, MMA mengalu-alukan satu lagi pengumuman kerajaan hari ini, iaitu peruntukan RM100 juta untuk menaja pengajian kepakaran, yang akan memanfaatkan kira-kira 3,000 doktor dan doktor gigi kontrak.

Isu doktor kontrak menjadi perhatian setelah sekumpulan mereka mengadakan protes seluruh negara pada Julai lalu.

Antara isu yang dihadapi doktor kontrak adalah mereka tidak layak mendapat biasiswa pascasiswazah universiti tempatan untuk menjadi doktor pakar.

Mereka juga tidak dijamin akan diserap sebagai kakitangan tetap selepas tamat kontrak lima tahun.

Lihat Komen
ADS