Kerajaan lulus peruntukan RM3 bilion perbesarkan UiTM
Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) akan menjadi pusat pendidikan utama bagi menambah peluang kepada pelajar Melayu dan pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.
Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) akan menjadi pusat pendidikan utama bagi menambah peluang kepada pelajar Melayu dan pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.
Sehubungan itu, kerajaan meluluskan rancangan pembesaran UiTM dengan peruntukan sebanyak RM3 bilion untuk menambah pengambilan pelajarnya daripada 100,000 kepada 200,000 orang.
Kerajaan juga bersetuju supaya Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) diambil oleh Yayasan Pendidikan Tun Abdul Razak (Pintar) daripada Koperasi Usaha Bersatu (KUB).
Ketika mengumumkan demikian, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Unitar akan direkasuai semula bagi mencerminkan imej dan lambang Umno.
"Saya tidak mahu kata ini universiti Umno, tetapi ia akan mencerminkan imej dan lambang Umno yang mendokong perjuangan dalam bidang pendidikan," katanya dalam ucapan penggulungan di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.
Singkatan UiTM
Najib berkata, beliau adalah pengerusi Pintar yang turut dianggotai oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Bendahari Umno, Datuk Abdul Azim Zabidi.
Katanya, kedua-dua perkara itu, termasuk pengambilalihan Unitar itu adalah keputusan Biro Pelajaran Umno yang dipengerusinya.
Mengenai rancangan pembesaran UiTMitu, Najib berkata perkara tersebut telah diputuskan dalam perhimpunan agung Umno yang lalu.
Najib turut menggamatkan dewan perhimpunan petang ini apabila secara berseloroh menyatakan antara sebab mengapa kerajaan memberi tumpuan kepada UiTM.
Ini menurutnya, selain singkatannya bermaksud Universiti Teknologi Mara, UiTM juga katannya membawa maksud "Universiti ini tolong Melayu, Universiti ini tingkatkan Melayu, Universiti ini tempat Melayu dan Universiti ini tunggak Melayu".

