Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua kaum di negara ini memahami bahawa kontrak sosial yang ada sekarang bukan dibuat oleh orang Melayu sendirian tetapi dipersetujui bersama dengan kaum-kaum lain.

Sehubungan itu katanya, sesiapa yang mahu mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu perlu tahu sejarah dan realiti masakini.

Beliau memberi jaminan kontrak sosial itu akan dikekalkan dan pada masa yang sama, kerajaan akan berlaku adil kepada semua kaum.

"Idea yang diasaskan ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang dan inilah muafakat yang dibuat dan diputuskan oleh Umno dan kabinet," katanya ketika menggulung perbahasan di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi.

Perdana Menteri berkata, cara muafakat yang diamalkan ini merupakan yang terbaik sejak sekian lama dan merupakan satu kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Agenda Melayu

Menurutnya, dalam memperkasakan agenda Melayu, kerajaan tidak akan meminggirkan dan mengabaikan kaum lain.

"Inilah kepercayaan yang diberikan kepada kita (Umno) dan ini merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Melaksanakan tanggungjawab merupakan tuntutan agama.

"Kita akan terus berlaku adil. Selama ini kita berlaku adil kepada mereka (kaum lain). Kalau kita adil kita akan terus disokong," katanya.

Dalam ucapannya selama sejam itu Abdullah turut menyentuh mengenai orang Melayu yang menyerahkan kontrak yang diperolehi dari kerajaan kepada kaum lain.

"Ini yang saya sedih dan kecil hati. Kontrak, lesen dan sebagainya yang mereka dapat diberikan kepada orang lain," katanya lagi.

Sehubungan itu, Abdullah yang juga Presiden BN tidak mahu berlaku sebarang ketirisan dalam perlaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).