Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Majlis Tertinggi parti itu akan mengkaji semula keputusan membenarkan keseluruhan perbahasan di perhimpunan agung Umno disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen bagi mengelakkan ucapan-ucapan yang emosional disalah tafsirkan.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, ada pihak berpendapat langkah menyiarkan perbahasan secara langsung tidak wajar kerana ada ucapan anggota perwakilan keterlaluan yang boleh menyentuh perasaan kaum lain.

"Kita akan kaji semula keputusan itu. Ya betul, ada beberapa ucapan yang boleh dikatakan keterlaluan tapi kita tak boleh ambil sikap bahawa satu dua jurucakap itu melambangkan pendirian Umno," katanya.

Beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional dilaporkan melahirkan rasa tidak senang dengan "ucapan emosional" oleh beberapa anggota perwakilan pada mesyuarat itu.

"Selagi permuafakatan BN masih menjadi teras kita, parti-prti komponen BN tidak seharusnya rasa bimbang bahawa kita akan melaksanakan dasar-dasar yang bersifat keterlaluan yang boleh menjejaskan kepentingan mana-mana kaum," katanya kepada wartawan selepas merasmikan persidangan antarabangsa mengenai warisan Ibnu Khaldun di Putrajaya.

Timbalan Perdana Menteri itu juga mengulas soal Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan mengakui wujud beberapa kelemahan dalam pelaksanaan dasar tersebut.

Menurut laporan Bernama, beliau bagaimanapun menolak sama sekali tanggapan kononnya dasar itu hanya menguntungkan golongan atasan sahaja.

"Saya menolak sama sekali bahawa DEB telah menguntungkan golongan tertentu sahaja, nak katakan DEB untuk orang kaya dan orang tertentu sahaja, adalah sikap yang tidak boleh diterima,"ujarnya.

Najib berkata, memang ada beberapa pendekatan DEB yang kurang sesuai dan kerajaan cuba memperbaikinya bagi membolehkan dasar itu mendatangkan hasil yang diharapkan.

Golongan elit

Timbalan Perdana menteri mengulas dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Perancangan Ekonomi Pulau Pinang Datuk Dr Toh Kin Woon kononnya dasar itu hanya untuk golongan elit sahaja terutamanya mereka yang rapat dengan pemimpin.

Toh (foto kanan)membuat dakwaan itu dalam satu forum di Pulau Pinang semalam yang turut dihadiri wakil dari parti pembangkang.

Beliau juga menegaskan, DEB adalah dasar untuk mengubah nasib semua golongan dan kaum, buktinya ialah telah banyak mengubah taraf sosio-ekonomi penduduk negara ini.

Katanya, daripada sudut membasmi kemiskinan, kerajaan telah berjaya mengurangkan kadarnya daripada lebih 50 peratus sebelum dasar itu diperkenalkan kepada lima peratus sahaja sekarang.

Najib berkata, soal penghapusan kemiskinan tidak tertumpu kepada orang Melayu sahaja kerana dasar itu juga mewujudkan banyak peluang kepada bukan Melayu sehinggakan banyak juga tokoh korporat bukan Melayu menjadi kaya dalam tempoh dasar itu dilaksanakan.

"Yang bukan Melayu banyak dapat limpahan dan kontrak daripada kerajaan dan juga kelulusan tertentu," katanya.

DEB diperkenalkan pada 1970 dan berakhir pada 1990 dengan tujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.