Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suaram selar penahanan aktivis Orang Asli
Diterbitkan:  Nov 9, 2021 11:11 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyelar tindakan pihak berkuasa menahan semalaman aktivis Orang Asli, Nasir Dollah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy, berkata penahanan aktivis berkenaan atas dakwaan hantaran berita palsu di laman sosial adalah sesuatu yang tidak perlu.

Sevan turut mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak menyelasaikan siasatan dalam masa tujuh jam.

"Nasir telah hadir ke IPD Gua Musang sekitar jam 9 pagi pada Ahad (7 Nov) setelah mendapat notis arahan menghadiri penyiasatan polis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

"Nasir seterusnya ditahan pada sekitar jam 4 petang pada hari yang sama.

"Suaram ingin persoalankan mengapa pihak polis Gua Musang tidak menyelesaikan penyiasatannya sepanjang tujuh jam Nasir berada dalam IPD Gua Musang pada (7 Nov) Adakah penyiasatan hanya dibuat pada Isnin (8 Nov)," soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, jika siasatan tidak dilakukan pada hari Isnin apakah keperluan pihak berkuasa menahan Nasir semalaman di lokap.

Jelasnya, Suaram berpandangan bahawa sejak kebelakangan ini, banyak isu-isu ketidakadilan yang berlaku di kalangan komuniti Orang Asli.

Dalam pada itu, Sevan berkata, komuniti Orang Asli terutamanya generasi muda mula menonjol dalam mendedahkan kepincangan sistem pemerintahan ke atas komuniti itu.

Suaram katanya memandang tindakan penahanan sebegitu sebagai satu cubaan untuk mewujudkan kegentaran kepada komuniti Orang Asli.

"Tindakan ini adalah bertujuan menutup mulut mereka daripada terus bersuara tentang isu-isu di dalam komuniti mereka.

"Sebagai satu komuniti yang tertindas, ini adalah satu perkembangan yang tidak sihat dalam mewujudkan satu negara yang progresif.

"Suaram berharap pihak PDRM agar berhenti daripada menahan aktivis-aktivis orang asli tanpa keperluan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS