Adun Moyog didakwa gagal bentang akaun syarikat
Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Moyog, Philip Lasimbang, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu ekoran kegagalan syarikatnya membentangkan akaun dalam dua mesyuarat agung tahunannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Moyog, Philip Lasimbang, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu ekoran kegagalan syarikatnya membentangkan akaun dalam dua mesyuarat agung tahunannya.
Lasimbang, selaku pengarah syarikat Steady Expansion Sdn Bhd, didakwa bersama seorang lagi pengarah syarikat itu, Albert Boyou.
Mereka didakwa mengetahui dan sengaja gagal membentangkan akaun untung dan rugi yang pertama dalam mesyuarat agung tahunan 2000 dalam tempoh 18 bulan dari tarikh syarikat diperbadankan sebagaimana yang dikehendaki mengikut seksyen 169 (1) Akta Syarikat 1965.
Menurut laporan Bernama, mereka juga didakwa gagal membentangkan akaun yang sama pada mesyuarat agung tahunan 2001 15 bulan dari tarikh mesyuarat agung tahunan terdahulu.
Oleh itu, mereka didakwa telah melanggar peruntukan Seksyen 169 (1) Akta Syarikat 1965 dan telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda RM30,000 untuk setiap pertuduhan mengikut Seksyen 171(1) Akta yang sama.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak hadir pada sebutan kes yang dijalankan di kamar Hakim Ravinthran Paramaguru.
Ravinthran kemudiannya menetapkan 10 Januari tahun depan untuk sebutan semula.
Peguam bagi pihak pembela Jacky Lettong berkata, Lasimbang, yang juga Pengerusi Lembaga Sukan Sabah tidak dapat datang ke mahkamah kerana terpaksa menghadiri mesyuarat ahli lembaga itu di Tawau.
Pihak pendakwaan diwakili Ng Ling Chee dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

