Misi Anees Munawar untuk membersihkan namanya
eksklusif Pengguguran tuduhan liwat terhadap Sukma Darmawan Sasmitaat Madja turut memberi harapan kepada seorang lagi yang turut terbabit dalam krisis 1988 yang menyaksikan penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
eksklusif Pengguguran tuduhan liwat terhadap Sukma Darmawan Sasmitaat Madja turut memberi harapan kepada seorang lagi yang turut terbabit dalam krisis 1988 yang menyaksikan penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pelepasan Sukma telah menyangkal tuduhan terhadap Anwar dan semua mereka yang dibabitkan dalam kes-kes yang sengaja direka dan telah gagal dibuktikan," kata Munawar A Anees, yang berkhidmatkan penulis ucapan Anwar ketika itu.
Anees telah berikrar untuk melakukan apa sahaja untuk membersihkan namanya.
Beliau memberitahu malaysiakini melalui wawancara emel bahawa beliau berada di Malaysia pada bulan April tahun ini ketika mahkamah mendengar kes rayuannya.
Ia merupakan kali pertama beliau kembali semula ke negara ini selepas meninggalkan Malaysia pada bulan Januari 1999 setelah selesai menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya.
Katanya, beliau sentiasa dihantui rasa takut dibabitkan lagi dalam kes-kes konspirasi yang lain, "tetapi setelah masa berlalu, saya rasa lebih selesa".
Katanya, beliau meninggalkan Malaysia seminggu selepas kesnya didengar, dan sejak itu, katanya, beliau tidak mendengar apa-apa mengenai kesnya.
Ditahan di bawah ISA
Anees, 58, adalah antara tiga orang yang didakwa di mahkamah atas tuduhan mempunyai hubungan seks dengan Anwar dua orang lagi ialah adik angkat Anwar, Sukma dan seorang pereka fesyen, Mior Abdul Razak Yahya, yang menjahit dan menyulam pakaian isteri Anwar.
Anees pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membolehkan tahanan tanpa bicara pada 14 September 1998, dua minggu selepas Anwar disingkirkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Anees, beliau diculik, diseksa dan dipaksa oleh pihak polis supaya membuat pengakuan palsu "membenarkan dirinya diliwat" oleh Anwar dan seterusnya menjalani hukuman empat bulan penjara.
Dengan berbekalkan 'pengakuan' tiga orang itu, polis menahan Anwar pada 20 September 1998 dan kemudian mendakwanya atas beberapa tuduhan salahguna kuasa dan liwat.
Dua minggu lalu, Mahkamah Sesyen membebaskan Sukma dari tuduhan liwat selepas tuduhan terhadapnya ditarik balik.
Ini ekoran perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah lebih tinggi Mahkamah Rayuan supaya Sukma dibicarakan semula selepas mendapati pengakuan bersalah Sukma terhadap tuduhan membiarkan Anwar meliwatnya tidak kukuh kerana terdapat fakta-fakta lain yang tidak dibangkitkan yang boleh membuktikannya tidak bersalah
Dalam wawancara melalui emel itu, Aness berkata, kes Sukma memberi makna yang lebih besar kepadanya kerana mereka dijatuhkan hukuman pada hari yang sama serta digari bersama ketika mereka "diheret seperti binatang" ke Penjara Kajang.
Kedua-duanya kemudian mendakwa pengakuan mereka yang membabitkan Anwar itu, dibuat atas paksaan dan pengakuan bersalah mereka tidak dibuat secara sukarela.
Kecam Nazri
Anees juga amat tersinggung dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang memberitahu Parlimen pada hari Sukma dibebaskan bahawa tidak ada undang-undang yang memerlukan kerajaan memohon maaf apabila sesuatu tuduhan digugurkan.
Jika begitulah keadaannya, Anees juga berkata, tidak ada undang-undang yang membenarkan layanan yang diterimanya daripada pihak polis ketika berada dalam tahanan lapan tahun yang lalu.
Katanya, dia tidak dibenarkan membuat panggilan telefon, digari, matanya ditutup, dibogelkan, seperti binatang dalam kurungan, kepalanya dicukur licin, disoalsiasat tanpa henti-henti, diancam, diugut, diseksa, dikejami supaya membuat pengakuan palsu, dirawat di hospital kerana sakit jantung, dan dirawat sebagai pesakit psikitrik dengan gejala "Stockholm syndrome."
Dalam satu
akuan bersumpahnya
, Anees telah menulis mengenai tempoh lima hari dia ditahan tanpa dibenarkan bertemu dengan sesiapapun, oleh pihak polis.
Dalam akuan bersumpah itu, Aness menulis, mereka mengancamnya dan keluarganya, mereka menakut-nakutkannya sedemikian rupa serta 'dibrainwash' sehingga akhirnya beliau dihadapkan ke mahkamah dalam keadaan di mana dia sanggup melakukan apa sahaja kerana tidak sanggup lagi menghadapi apa yang telah dilakukan terhadap dirinya.
Akuan berkanun setebal 55 muka surat itu, yang ditulisnya ketika menjalani hukuman penjara, kemudiannya dikemukakan di mahakamah sebagai sebahagian daripada rayuannya terhadap hukuman penjara enam bulan ke atasnya selepas dia "mengaku" membenarkan Anwar meliwatnya.
Sejak empat tahun lalu, Anees seorang penulis rakyat Amerika keturunan Pakistan, yang juga lulusan dalam bidang biologi dan merupakan intelek Islam yang dihormati di peringkat antarabangsa bertugas sebagai seorang perunding di Yayasan John Tempeton yang berpejabat di Amerika.
Beliau yang dianggap sebagai suara dunia Islam, turut dicalonkan untuk Hadiah Nobel Peace pada 2002.
Anees yang kini tinggal di Los Angeles, telah menulis enam buah buku, termasuk buku Islam and Biological Futures: Ethics, Gender, and Technology diterbitkan pada 1990 yang membincang mengenai masalah ibu-ganti, pengguguran dan kejuruteraan genetik.
Dalam tiga bahagian wawancaranya dengan malaysiakini, Anees bercakap panjang lebar, antara lain, mengenai pertemuan semula dengan Anwar dan pandangannya mengenai peperangan menentang keganasan. Berita asal

