Penyebaran SMS baptis: Raja Sherina ditahan reman
Polis berjaya menahan wanita berusia 40-an yang dikenali sebagai Raja Sherina, yang dikehendaki seberhubung siasatan kes penyebaran SMS mengenai dakwaan majlis pembaptisan sekumpulan Melayu di sebuah gereja di Ipoh, Perak.
Polis berjaya menahan wanita berusia 40-an yang dikenali sebagai Raja Sherina, yang dikehendaki seberhubung siasatan kes penyebaran SMS mengenai dakwaan majlis pembaptisan sekumpulan Melayu di sebuah gereja di Ipoh, Perak.
Sebelum ini, pihak polis telah menasihatkan wanita itu tampil menghubungi polis untuk membantu siasatan terhadap kes tersebut.
Bagaimanapun, selepas dia gagal berbuat demikian, pihak polis telah menyiarkan fotonya di akhbar.
Sebelum itu, wanita tersebut bersama suaminya telah menemui Mufti Perak Datuk Harussani Zakaria, sebelum tersebarnya berita mengenai usaha pembaptisan tersebut, yang didakwa akan diadakan di sebuah gereja di Ipoh.
Polis memperolehi salinan foto Raja Sherina dari rakaman video pertemuannya dengan Mufti Perak itu. Suaminya turut ditahan hari ini.
Menjerit histeria
Sementara itu, Bernama melaporkan, wanita dikenali "Raja Sherina" ditahan di Alor Star malam tadi.
Ketua Polis Perak Datuk Abdul Aziz Bulat berkata, ketika ditahan di hadapan Hospital Alor Star (HAS) pada jam 9.30 Isnin malam oleh satu pasukan polis dari kontinjen Perak, wanita itu sedang bersama-sama suaminya yang berusia 38 tahun dan seorang anak lelaki.
"Ketika ditahan wanita itu menjerit-jerit seperti histeria tetapi suaminya tenang sebelum dibawa ke HAS untuk rawatan manakala anak lelakinya yang berusia 3 tahun diserahkan kepada abang suaminya," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.
Sebelum ini, polis gagal menemui wanita itu di dua buah lokasi yang dipercayai menjadi tempat kediamannya iaitu di Sitiawan dan Sungai Petani.
Isnin, polis menyerahkan kepada media untuk menyiarkan gambar "Raja Sherina" bagi mendapatkan bantuan orang ramai mengesan wanita itu.
Tindakan polis mengedar gambar itu dibuat berikutan kegagalan wanita berusia linkungan 40-an, yang dipercayai dari Sungai Petani, untuk tampil menghubungi polis selepas diminta berbuat demikian Rabu lepas.
Abdul Aziz berkata wanita itu yang telah dibawa ke sini bersama suaminya, masih lagi dalam keadaan seperti histeria pagi ini dan dibawa ke Hospital Ipoh untuk rawatan.
Dia kemudiannya dibawa ke mahkamah untuk polis mendapatkan perintah tahan reman.
Tahanan reman
Abdul Aziz, yang ditemui di perkarangan IPK Perak, enggan mengulas lanjut mengenai penahanan itu.
Pada jam 3 petang ini, wanita itu bersama suaminya dikenakan perintah tahanan reman selama tiga hari oleh Majistret Syamsul Rezal Md Ariff di Mahkamah Majistret Ipoh.
Pada 5 November, lebih 500 umat Islam dan juga wakil beberapa pertubuhan berkumpul di hadapan sebuah gereja di Silibin di sini selepas tersebar SMS menyatakan pelayar solo negara Datuk Azhar Mansor akan mengkristiankan sejumlah orang Islam.
Dalam SMS itu, nama Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria dikaitkan sebagai pihak yang mengesahkan akan berlaku upacara pembaptisan itu.
Pada 12 Nov lepas, Harussani berkata pendedahan mengenai upacara berkenaan telah dibuat oleh wanita berkenaan yang mengirimkan SMS kepadanya selain datang berjumpa beliau.
Azhar telahpun menjelaskan bahawa beliau adalah seorang Islam dan tidak ada kaitan dengan upacara itu.

