mk-logo
Berita
Kajian ketum 'tergendala' sebab masalah bekalan bahan mentah - KJ
Diterbitkan:  Nov 11, 2021 4:15 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

PARLIMEN | Buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menjalankan kajian klinikal terhadap penggunaan ketum bagi tujuan perubatan, maklum Menterinya Khairy Jamaluddin.

Jelasnya, ini kerana kajian sedemikian menghadapi masalah bekalan bahan mentah yang tidak stabil.

"Data pra klinikal sedia ada masih belum mencukupi bagi membolehkan formulasi ekstrak ketum memasuki fasa kajian klinikal.

"Beberapa kajian keselamatan bagi penggunaan jangka masa panjang perlu dilakukan. Masalah utama yang dihadapi adalah mendapatkan bahan mentah yang tetap daripada pihak pembekal.

"Kajian ke atas ketum memerlukan bahan mentah yang mencukupi daripada sumber yang stabil bagi menghasilkan ekstrak terpiawai yang mempunyai kandungan yang serupa bagi kesemua kajian praklinikal.

"Kesinambungan penghasilan ekstrak terpiawai daripada bahan mentah ketum yang bersesuaian bagi kajian pra klinikal dan klinikal adalah penting bagi menghasilkan produk ketum yang bernilai tinggi," katanya pada jawapan pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy menjawab soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar (gambar, atas) yang bertanyakan mengenai butiran terperinci kajian perubatan yang sedang dijalankan KKM terhadap penggunaan ketum.

Menurut menteri kesihatan itu beberapa kajian pra klinikal ke atas ekstrak daun ketum pernah dijalankan oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) KKM sebelum ini.

"Kajian pengenalpastian kandungan bahan kimia bagi penyediaan ekstrak terpiawai (standardized extract) dengan mitragynine (kompaun unik di dalam ketum) sebagai penanda aras.

"Kajian keselamatan yang meliputi kajian acute toxicity (kajian keselamatan akut dengan satu dos yang tinggi), cytotocixity (kajian toksisiti ke atas sel) dan mutagenicity (kajian keselamatan bagi menentukan sama ada ekstrak boleh menyebabkan perubahan mutlak material genetik di dalam sel).

"Kajian keberkesanan mendapati ekstrak ketum mempunyai kesan sebagai antimalaria (membunuh parasit malaria) dan antimutagenik (mencegah sel dari mengalami perubahan material genetik yang boleh menjadi punca penyakit kanser)," katanya menjelaskan kajian-kajian ini menunjukkan ekstrak daun ketum adalah selamat bagi penggunaan dalam jangka masa pendek.

Selain itu, Khairy berkata beberapa kajian pra klinikal ke atas ekstrak ketum yang turut meliputi kajian keberkesanannya pernah dijalankan oleh agensi lain seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sekumpulan ahli parlimen rentas parti pada 14 Okt lalu bersetuju untuk menubuhkan Kaukus Ganja dan Ketum Perubatan bagi mengkaji isu kawal selia penggunaan dua tumbuhan asli negara itu bagi mengurangkan kemudaratan sebagai salah satu perubatan alternatif yang diiktiraf pihak berkuasa.

Pengerusi kaukus itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata penubuhan badan berkenaan selaras dengan usaha untuk mengembangkan industri ketum dan ganja perubatan di Malaysia yang boleh memberi manfaat kepada industri kesihatan negara dan rakyat tempatan.

Selain Syed Saddiq, ahli lain kaukus tersebut ialah Azalina Othman Said (Umno-Pengerang), Khalid Samad (Amanah-Shah Alam), Xavier Jayakumar (bebas-Kuala Langat), Darell Leiking (Warisan-Penampang), Dr Kelvin Yii (DAP-Bandar Kuching), Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) dan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).

Untuk rekod, pemilikan, penanaman dan pengedaran ketum merupakan kesalahan jenayah yang dikawal selia bawah Akta Racun 1952.

Lihat Komen
ADS