mk-logo
Berita
Hadi: PAS sertai PN di Melaka untuk tolak 'parti ekstrem'
Diterbitkan:  Nov 12, 2021 8:14 AM
Dikemaskini: 12:14 AM

PRN MELAKA | Presiden PAS Abdul Hadi Awang malam tadi berkata, parti itu menyertai PRN Melaka bersama Perikatan Nasional (PN) untuk membawa pembaharuan kepada Melaka.

Memetik sejarah politik negara bermula dari Parti Perikatan berlambang kapar layar, Abdul Hadi bercakap bagaimana kemudian BN ditubuhkan pada puluhan tahun silam.

Katanya selepas sekian lama didapati BN memiliki pelbagai kelemahan dan berpendapat pembaharuan perlu dilaksanakan dan kerana itu tertubuh pula PN dengan mengetepikan "parti-parti ekstrem".

Gabungan berkenaan, kata ahli parlimen Marang merangkap timbalan presiden PN itu lagi, mahu menolak "parti ekstrem" berkenaan dengan dengan menawarkan pembaharuan di Melaka.

"Apabila dacing (simbol BN) dah lama, ada kelemahan-kelemahan dia. (Justeru) kita kena buat perubahan... kita ubah buat PN (iaitu) satu perikatan baru mengumpulan parti-parti yang tidak ekstrem, yang boleh bersatu, boleh kerjasama dan kita cuba bertanding di Melaka apabila ada peluang di Melaka.

"PAS, Bersatu dan Gerakan, kita bertanding atas satu simbol untuk menolak parti ekstrem, untuk membuat satu perubahan pendekatan pakatan baru.

"Satu pembaharuan mesti dilakukan. Kalau rakyat Melaka nak buat pembaharuan, pilihlah PN," katanya.

Tindakan tidak bermoral

Abdul Hadi berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di majlis Pentas PRN Melaka Bersama Pimpinan yang diadakan di Shah Alam malam tadi.

Turut hadir Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan Dominic Lau. Ia turut disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Untuk rekod di Melaka PN bukan saja berdepan dengan Pakatan Harapan (PH) - yang didakwa Abdul Hadi pernah cuba "merungkai perlembagaan" - malah turut bersaing dengan Umno-BN.

Umno merupakan parti yang menjalin hubungan secara rasmi dengan PAS melalui Muafakat Nasional ketika kedua-dua parti itu menjadi pembangkang. Bagaimanapun selepas PH dijatuhkan pada akhir Feb tahun lalu PAS mengambil langkah sendiri menyertai PN yang diasaskan oleh Bersatu.

Beberapa pemimpin Umno akhir-akhir ini menganggap Muafakat Nasional itu sudah tidak berfungsi malah wujud hanya pada nama saja.

Kelmarin Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata seruan PAS untuk penyatuah ummah hanyalah untuk "halwa telinga". Slogan perpaduan ummah itu merujuk kepada usaha PAS mendamaikan Umno dengan Bersatu.

Gambar fail

Kata Mohamed Khaled, dengan kedudukan PAS bersama dengan PN sekarang, ia membuka ruang dan peluang kepada Umno-BN kembali menjadi sebuah parti yang sederhana, pelbagai budaya serta progresif. 

Abdul Hadi juga menganggap tindakan empat bekas Adun Umno dan penyokong kerajaan Melaka menarik balik sokongan mereka kepada Sulaiman Md Ali itu sebagai lanjutan kepada langkah Umno menjatuhkan Muhyiddin.

Menurut Abdul Hadi, Muhyiddin tidak meminta untuk dilantik sebagai perdana menteri dan ia menganggapnya sebagai suatu adab yang terpuji.

Namun selepas itu katanya ada pihak yang membuat kacau sehingga mengancam kedudukan ahli parlimen Pagoh itu.

"Demi nak selamat (kerajaan) kita buat perubahan. Tan Sri (Muhyiddin) sanggup letak jawatan perdana menteri. Bukan mudah nak letak jawatan perdana menteri.

"(Selepas itu) terima perdana menteri baru. Terima dengan tenang. Selepas berlaku (pertukaran di peringkat) persekutuan, berlaku pula di Melaka... jatuhkan kerajaan sendiri.

"Ini sesuatu yang tidak bermoral," katanya.

Lihat Komen
ADS