Akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau mungkin dikenakan tindakan termasuk kemungkinan digantung kerana menyiarkan sebuah laporan yang kritikal terhadap perwakilan Umno yang menghadiri perhimpunan agung parti itu minggu lalu.

Sumber-sumber industri pasti akhbar tersebut akan dikenakan tindakan walaupun Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow dan Ketua Pengarang Nanyang, Cheng Khee Chien menafikannya.

Ketika dihubungi hari ini, Fu menyifatkannya sebagai 'hanya khabar-khabar angin.

Bagaimanapun, sumber-sumber berkata, laporan muka Nanyang Siang Pau Ahad lalu, tidak disenangi pemimpin Umno dan akhbar berkenaan mungkin diberi amaran atau digantung penerbitannya atau pengarangnya dipanggil.

Laporan tersebut mengandungi komen beberapa pemimpin terkemuka masyarakat Cina yang mengkritik perwakilan Umno yang mereka dakwa 'keterlaluan' dan 'mengapi-apikan sentimen perkauman'.

Sembilan pemimpin yang diwawancara dalam laporan tersebut termasuklah Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai; Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik; Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong; Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; Presiden Dewan Bersekutu Perniagaan dan Perdagangan Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Sri William Cheng and Persekutuan Persatuan Cina Malaysia, Datuk Seri Lim Gait Tong.

Ujian untuk Tiong, Ong

Difahamkan, nasib Nanyang Siang Pau kini akan diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri esok.

Jika tindakan diambil, sumber-sumber itu meramalkan, ia mungkin merupakan penggantungan penerbitan selama dua minggu, sepertimana yang pernah dikenakan terhadap akhbar berbahasa Cina, Guang Ming Daily Februari lalu kerana menyiarkan karikatur Nabi Muhammad.

Mereka berkata, sepertimana Guan Ming, pihak berkuasa mungkin mengambil tindakan menggantung penerbitan edisi petang Nanyang Siang Pau.

Tindakan itu dijangka tidak memberi kesan yang besar terhadap akhbar berkenaan kerana pengedaran edisi petang itu tidak tinggi, kata sumber-sumber itu.

"Ini akan menjadi satu ujian terhadap pemilik baru akhbar berkenaan, Tan Sri Tiong Hiew King dan Presiden MCA. Bagaimanakah mereka akan menggunakan pengaruh masing-masing untuk menangani krisis itu," kata sumber-sumber itu.

MCA, melalui syarikat pelaburannya, Huaren Holdings, mempunyai 20 peratus pegangan dalam Nanyang Press Holdings, yang turut menerbitkan akhbar China Press.

Bulan lalu, Tiong seorang jutawan media yang telahpun memiliki dua akhbar berbahasa Cina, akhbar yang tertinggi jualannya Sin Chew Jit Poh dan Guang Ming telah membeli 20 peratus saham daripada Huaren, dan meningkatkan jumlah pegangannya dalam Nanyang Holdings meningkat kepada 44 peratus.

Spekulasi mengenai kemungkinan sebuah akhbar Cina akan menghadapi masalah tercetus selepas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum mengeluarkan amaran tersebut Sabtu lalu.

Katanya, terdapat sebuah akhbar Cina yang membangkitkan isu-isu yang boleh menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat dan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadsap sebarang penerbitan yang mengandungi bahan-bahan berbaur hasutan. Berita asal