Perbicaraan kes sembur Dr M ditetapkan Mac depan
Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini menetapkan perbicaraan kes seorang ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof yang dituduh sengaja menyebabkan kecederaan terhadap empat orang, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, diadakan pada 11 hingga 15 Mac depan.
Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini menetapkan perbicaraan kes seorang ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof yang dituduh sengaja menyebabkan kecederaan terhadap empat orang, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, diadakan pada 11 hingga 15 Mac depan.
Nik Sapeia, 53, didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaaan, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa kira-kira jam 11 pagi 28 Julai lalu, dengan menyembur bahan berbahaya dengan menggunakan alat penyembur iaitu bahan berbahaya kepada tubuh badan apabila dihidu.
Majistret Azman Mustapha juga menolak permohonan ahli perniagaan tersebut, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof, 53 untuk menetapkan satu tarikh sebutan semula kerana beliau telah menghantar satu representasi kepada pejabat Peguam Negara memohon supaypa pertuduhan terhadapnya tidak diteruskan.
Menurut laporan Bernama, peguambela ahli perniagaan itu, Zainal Abidin Mustaffa memberitahu mahkamah, Nik Sapeia telah menghantar permohonan itu pada 9 Oktober lalu dan menerima surat jawapan pada 16 Oktober lalu, memaklumkan bahawa ia masih dalam pertimbangan dan belum diputuskan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Khairul Anuar Wahab yang memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menerima panggilan daripada pejabat Peguam Negara memaklumkan bahawa representasi Nik Sapeia telah ditolak dan surat mengenainya akan dihantar kemudian.
Permohonan ditolak
Azman juga menolak satu lagi permohonan tertuduh yang mahu mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi memberi peluang pihaknya memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi kerana ia kes berprofil tinggi.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mengikut pertuduhan yang dibuat terhadapnya pada 9 Ogos lalu, tiga lagi yang menjadi mangsa ialah bekas ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, Mohd Nasir Muda dan Suberi Sahidan.
Nik Sapeia yang mengaku tidak bersalah dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM8,500.
Beliau yang tiba di mahkamah menaiki limosin pada kira-kira jam 9.20 pagi turut ditemani anggota keluarga termasuk isteri dan juga beberapa pengawal peribadi.

