Ungku Aziz mahu orang kampung bersifat 'kiasu'
Prof Diraja Ungku Aziz, mencabar masyarakat luar bandar membuang sifat pemalu dan perlu menjadi lebih berani dan mengamalkan sikap "kiasu" ke arah menjadi usahawan berjaya.
Prof Diraja Ungku Aziz, mencabar masyarakat luar bandar membuang sifat pemalu dan perlu menjadi lebih berani dan mengamalkan sikap "kiasu" ke arah menjadi usahawan berjaya.
"Kiasu adalah perkataan Hokkien (bermaksud takut kalah) yang popular dalam kalangan rakyat Singapura. Saya berpendapat masanya sudah tiba bagi penduduk luar bandar kita turut mempunyai sifat kiasu dan menjadi agresif sedikit.
"Disebabkan kiasu ini, seseorang itu akan kata dia mahu menjadi yang terbaik, menjadi nombor satu. PM (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) pula bercakap mengenai 'towering Malays' (Melayu hebat). Namun tidak semua Melayu boleh menjadi hebat tetapi semuanya boleh mempunyai sifat kiasu.
"Saya rasa penduduk luar bandar bersifat kompleks, pemalu, terlalu baik hati untuk menyemai sifat kiasu ini. Ini adalah satu daripada perkara penting untuk menjadi seorang usahawan Bumiputera yang berjaya," katanya pada pelancaran Kursi Profesor Diraja Ungku Aziz dan Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan di Universiti Malaya baru-baru ini.
Menurut lporan Bernama, kursi dan pusat itu, yang dilancarkan oleh Abdullah, bertujuan menjadi pusat bagi kerja akademik, penyelidikan, perundingan dan bantuan teknikal dalam bidang pembasmian kemiskinan dan kemajuan golongan akademik, orang awam, pembuat dasar dan masyarakat antarabangsa.
Ungku Aziz berkata usahawan Bumiputera harus mempunyai kemahiran berfikir, sesuatu yang tidak diajar di sekolah, bagi memahami perkara seperti pengurusan risiko dan perakaunan asas.
Empat sifat 's'
Katanya usahawan yang baik perlu mempunyai sifat sadiq, amanah dan telus.
Bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini berkata : "Sadiq bermakna yang benar...bercakaplah apa yang benar.
"Kita juga mesti amanah, yang bermakna kita hendaklah menjadi orang yang boleh dipercayai...jika berjanji, tunaikan. Kalau tak mampu, jangan berjanji.
"Kita juga hendaklah telus. Amalan menyogok untuk menjalankan sesuatu urusan tidak baik untuk pembangunan luar bandar.
"Apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah semua pihak yang terlibat dalam pembangunan luar bandar mestilah telus, bermakna mereka mestilah terbuka, tidak memihak kepada sesiapa dan memilih kasih."
Ungku Aziz juga meminta usahawan luar bandar mengamalkan 4 S iaitu Sopan, Santun, Selalu Senyum.
"Dengan 4 S ini, anda akan menjadi ahli perniagaan dan usahawan yang baik," katanya.
Beliau juga berharap untuk melihat satu "ledakan bumi" di luar bandar, seperti fenomena "ledakan bayi" yang berlaku apabila tentera pulang daripada Perang Dunia.
"Mereka (Bumiputera) mesti meledak dan berkembang dengan banyak untuk menjayakan program pembangunan luar bandar," katanya.
Ungku Aziz juga bercakap mengenai perlunya "perubahan generasi" bagi membolehkan usahawan muda mendapat peluang menikmati pekerjaan lebih baik dan mengumpul kekayaan di sektor luar bandar.
Pengangguran
"Ini akan mengurangkan kadar pengangguran khususnya dalam kalangan lulusan universiti," katanya.
Ungku Aziz berkata produktiviti yang rendah merupakan satu masalah yang melibatkan modal insan di luar bandar.
Katanya tumpuan perlu diberi ke arah mengutamakan penduduk luar bandar dalam pelaksanaan program modal insan.
Beliau juga berharap untuk melihat kurangnya projek infrastruktur besar yang berprestij, bangunan contoh, malahan jambatan.
Ungku Aziz mengaitkan kemiskinan luar bandar antaranya kepada salah pengurusan hutan tropika dan dasar imperialis penjajah yang memusnahkan sistem sosial, menjejaskan kestabilan pertubuhan politik dan hubungan budaya masyarakat.
"Oleh itu, kita perlukan satu penyusunan semula tanah bagi melindungi petani luar bandar kerana penggunaan tanah masih tertakluk kepada undang-undang yang dibuat semasa era imperialisme," katanya

